Visual ikan didakwa pirana di Empangan Klau dihantar ke IPP untuk pengesahan spesies

LocalEnvironment
15 Sep 2026 • 10:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Visual ikan didakwa pirana di Empangan Klau dihantar ke IPP untuk pengesahan spesies
Laporan Sinar Harian berhubung Jabatan Perikanan siasat dakwaan penemuan piranha perut merah di Empangan Klau

PUTRAJAYA - Jabatan Perikanan Pahang telah menghantar rakaman video dan gambar ikan yang didakwa sebagai pirana perut merah (Pygocentrus nattereri) yang ditemukan di Empangan Klau, Raub kepada Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glami Lemi, Negeri Sembilan bagi mengesahkan identiti spesies itu.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, proses pengesahan sedang dilakukan bersama-sama IPP manakala pemantauan di empangan turut dilaksanakan dengan kerjasama komuniti perikanan darat setempat dan agensi berkaitan.

"Orang awam tidak perlu cemas dan dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang kesimpulan sehingga pengesahan spesies diperoleh," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, rakaman video dan gambar dihantar hari ini selepas Jabatan Perikanan Pahang menjalankan siasatan susulan terhadap dakwaan penemuan ikan asing berkenaan yang mendapat perhatian menerusi media sosial.

Sebelum ini, media sosial kecoh dengan dakwaan kewujudan pirana di Empangan Klau termasuk hantaran yang mendakwa ikan itu memakan buaya, sekali gus mencetuskan kebimbangan warganet mengenai kemungkinan spesies asing itu berada di perairan berkenaan.

Siasatan Jabatan Perikanan Pahang mendapati ikan itu ditangkap menggunakan jala oleh seorang penduduk pada 26 Ogos lepas sebelum rakaman video mengenainya dikongsikan menerusi kumpulan WhatsApp.

Berdasarkan keterangan individu terbabit, hanya seekor ikan didakwa sebagai pirana ditangkap pada hari kejadian manakala tangkapan lain terdiri daripada lampam sungai, lampam Jawa, zebra tilapia dan peacock bass. Ikan berkenaan bagaimanapun mati sebaik tiba di daratan sebelum dibuang ke dalam semak.

Susulan itu, pegawai penyiasat Jabatan Perikanan Pahang bertemu individu yang menangkap ikan berkenaan, yang merupakan peraih ikan di kawasan itu dan individu sama yang merakam video tangkapan tersebut.

Hasil perbincangan dengan komuniti setempat mendapati tiada lagi tangkapan ikan seumpamanya dilaporkan sejak kejadian pertama itu.

Pengarah Perikanan Pahang Roslan Abu Hassan hari ini bersama wakil Pejabat Daerah dan Tanah Raub, polis serta Penghulu Mukim Gali 2 turut melakukan pemeriksaan di lokasi selain bertemu komuniti setempat yang menjadi saksi kepada penemuan berkenaan. - Bernama

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved