
Tarikh pelancaran rasmi vivo V70 FE telah ditetapkan pada 9 April 2026 di Malaysia. Ia menjadi pilihan baharu dalam siri V70 dengan tumpuan utama pada sistem kamera beresolusi tinggi 200MP. Dari segi kemasan, ia mengekalkan gaya moden yang konsisten dengan penjenamaan FE itu sendiri yang membawa maksud fesyen dan gaya sebagai sebahagian daripada identiti peranti.

Semakan melalui laman web rasmi memperlihatkan bahawa spesifikasi penuh V70 FE sudah disenaraikan. Peranti ini hadir dengan skrin AMOLED 6.82″beresolusi 2800 x 1260 piksel serta menyokong kadar segar semula 120Hz. Ia dipadankan dengan cip Dimensity 7360-Turbo, pilihan memori 8GB RAM LPDDR5 dan storan dalaman sehingga 512GB UFS 3.1. Selain itu, vivo V70 FE menjalankan OriginOS 6 berasaskan Android 16 untuk pengalaman lebih terkini.

Spesifikasi tambahan peranti ini turut menampilkan bateri berkapasiti besar 7000 mAh dengan sokongan pengecasan pantas 90W FlashCharge. Dari segi fotografi, ia dilengkapi tetapan kamera yang merangkumi kamera utama 200MP OIS ultra-clear, sudut lebar 8MP serta swafoto sebesar 32MP. Selain itu, peranti ini juga menyokong ciri moden seperti Bluetooth 5.4, NFC dan infra merah.

Harga jualan rasmi bagi V70 FE masih belum diumumkan setakat artikel ini ditulis. Namun, bagi mereka yang berminat membuat tempahan awal, vivo menyediakan pilihan dengan meletakkan deposit sebanyak RM5. Selain itu, pembelian yang dibuat sehingga 17 April 2026 akan disertakan dengan pelbagai hadiah percuma menarik. Pelanggan turut akan menerima waranti lanjutan selama 1 tahun di beberapa negara serta perlindungan 180 hari untuk skrin retak.

