Vivo V70 telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia sebentar tadi. Ia hadir dengan perkakasan dalaman yang menarik sambil mengekalkan fokus terhadap sistem kamera potret. Selain itu, ia nampak lebih moden dan seakan mengembalikan imej yang pernah ditonjolkan pada Vivo V23 sebelum ini.

Vivo V70 hadir dengan skrin berukuran 6.59 inci 1.5K Ultra Clear OLED Display yang menyokong kadar segar semula 120Hz. Ia dipadankan dengan cip Snapdragon 7 Gen 4 bersama pilihan memori bermula daripada 8GB RAM (LPDDR 5X) dan storan dalaman 256GB (UFS4.1).

Peranti ini menjalankan sistem operasi OriginOS 6 berasaskan Android 16 serta menawarkan beberapa fungsi menarik seperti Origin Island, Vivo Office Kit, One Tap Transfer, AI Creation, AI Search dan AI Caption. Selain itu, vivo turut menjanjikan sokongan kemas kini keselamatan selama enam tahun melalui pensijilan keselamatan yang diberikan.



Tetapan kamera peranti ini terdiri daripada kamera utama 50MP ZEISS (OIS), 50MP ZEISS Super Telephoto serta kamera 8MP ZEISS Ultra-Wide Angle. Untuk swafoto, ia dilengkapi kamera swafoto 50MP ZEISS Group Selfie Camera. Rakaman video boleh dibuat sehingga resolusi 4K di samping kamera peranti turut menyokong pelbagai ciri berasaskan AI seperti Stage Mode, Audio Noise Eraser, Magic Weather, Magic Landscape, Creative Style dan Film Camera Mode 2.0.

Peranti ini menggunakan bateri 6,500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 90W. Selain itu, Vivo V70 juga hadir dengan ketahanan air dan debu melalui pensijilan IP68/IP69.

Harga jualan vivo V70 di Malaysia bermula pada RM1,999 (8GB + 256GB), RM2,199 (12GB + 256GB) dan RM2,599 (12GB + 512GB). Bagi pelanggan yang membuat pra-tempahan antara 24 Februari hingga 13 Mac 2026, mereka akan menerima hadiah istimewa termasuk vivo Buds, waranti tambahan vivo Care selama 365 hari, perlindungan skrin vivo Care selama 180 hari, pelan perlindungan cecair vivo Care 365 hari dengan harga RM17 serta peluang untuk memenangi V70 × PopMart Limited Edition Gift Box.


Selepas tempoh pra-tempahan berakhir iaitu dari 14 Mac hingga 30 Jun 2026, pelanggan boleh menikmati pelan ansuran khas serta kemudahan Buy Now, Pay Later. Melalui promosi ansuran ini, vivo menawarkan sehingga 24 bulan pelan ansuran tanpa faedah bersama rebat segera sebanyak RM100 apabila menggunakan bank terpilih seperti Public Bank, OCBC Bank, UOB Bank dan Affin Bank. Rebat ini diberikan khusus kepada 300 pelanggan pertama bagi setiap bank yang memilih pelan ansuran penuh sekurang-kurangnya 12 bulan.

Untuk pilihan Buy Now, Pay Later, pelanggan boleh memilih antara dua penyedia utama. SPayLater menawarkan pelan ansuran selama enam bulan tanpa faedah manakala PayLater by Grab menyediakan pelan ansuran empat bulan yang juga bebas faedah. Namun begitu, sekiranya pelanggan memilih pelan SPayLater untuk tempoh 12 bulan (atau lebih ) atau pelan PayLater by Grab selama 8 hingga 12 bulan, caj tambahan sebanyak 1.5% sebulan akan dikenakan berdasarkan jumlah keseluruhan pesanan.

Selain itu bermula 14 Mac hingga 30 Jun 2026, mana-mana pelanggan yang menukar telefon lama mereka di vivo Concept Stores boleh menikmati rebat tambahan sehingga RM100 di bawah program tukar ganti peranti. Tawaran terhad kepada model tertentu dan hanya untuk 500 pelanggan pertama di seluruh Malaysia berkonsepkan siapa cepat dia dapat. Semua promosi ini hanya boleh didapati di vivo Concept Stores terpilih.

