
Vivo secara rasmi meluaskan pasaran telefon boleh lipatnya ke peringkat global dengan pelancaran Vivo X Fold 6 selepas diperkenalkan di China. Model terbaharu ini hadir dengan reka bentuk lebih nipis, paparan bersaiz besar dengan kadar segar semula tinggi, serta sistem kamera yang dipertingkatkan.
Vivo XFold 6 hadir dengan skrin dalam 8.02″ LTPO AMOLED 2K+ yang menawarkan resolusi 2504 x 2312 piksel. Skrin luar pula sebesar 6.51″ AMOLED dengan resolusi 2,528 x 1120 piksel. Kedua-dua panel menyokong kadar segar semula 120Hz, Dolby Vision serta kecerahan puncak sehingga 5,000 nits. Semua ini dimuatkan dalam tubuh peranti dengan ketebalan hanya 4.4mm bagi warna Prism Black (228g) dan 4.8mm bagi Horizon Blue (235g).

Tunjang utama peranti dikuasai oleh cip MediaTek Dimensity 9500 Super Edition bersama memori 16GB RAM LPDDR5X serta storan dalaman UFS 4.1 sehingga 1TB. Ia menjalankan OriginOS 7 berasaskan Android 17 dengan pelbagai ciri produktiviti seperti Multi-Task Workbench, Multi-Split Screen dan AI Cross-App Drag. Selain itu, Vivo turut memperkenalkan fungsi berasaskan AI termasuk AI Meeting Assistant, AI File Manager, AI Reader Mode dan Jovi AI untuk meningkatkan pengalaman pengguna.

Peranti juga dilengkapi dengan kamera utama 200MP yang disokong OIS serta lapisan khusus ZEISS T* coating bagi menghasilkan imej lebih jelas. Ia turut menawarkan kamera ultra lebar 50MP, telefoto periskop 3x 50MP, serta kamera swafoto 20MP pada skrin dalam dan luar. Untuk rakaman video, ia menyokong resolusi maksimum 4K60fps dengan Dolby Vision serta keupayaan zum sehingga 100x melalui teknologi ZEISS HyperZoom.

Vivo X Fold 6 dibekalkan dengan bateri 6,900mAh yang menyokong pengecasan pantas 80W serta 40W nirwayar. Peranti ini turut hadir dengan penarafan IP58, IP59, IPX8 dan IPX9 bagi perlindungan menyeluruh terhadap habuk dan air. Vivo telah mengumumkan pelancaran global X Fold 6, namun harga dan ketersediaan khusus mengikut pasaran akan diumumkan kemudian.
Setakat ini, masih belum dapat dipastikan sama ada Malaysia akan menerima kemasukan rasmi model ini ataupun sebaliknya.
Sumber : prnewswire




