Berita terkini mengenai dua peranti baharu vivo ini menarik perhatian. Peranti dimaksudkan ialah vivo X300 Ultra dan X300s, di mana vivo akan memperkenalkan sistem baharu yang dinamakan Blueprint Native Color.
Teknologi ini dibangunkan semula dari asas untuk menghasilkan warna yang lebih semula jadi dalam fotografi. Menurut vivo dalam satu kemas kini di Weibo, sistem ini direka untuk memberikan imej dengan pencahayaan serta bayang yang lebih seimbang.

Berdasarkan perkongsian awal, vivo X300 Ultra dijangka dilancarkan di China hujung bulan ini selepas ia diperlihatkan di MWC tempoh hari. Kedua-dua model ini akan hadir dengan sistem warna baharu tersebut yang turut disokong oleh algoritma Smooth EV Dynamic Compression.
Algoritma ini berfungsi menggabungkan data HDR berbilang bingkai secara automatik sebaik sahaja pengguna menekan butang shutter. Dalam penggunaan harian, contohnya ketika mengambil gambar matahari terbenam atau suasana bercahaya rendah, imej akan kelihatan lebih seimbang tanpa bayang terlalu gelap atau cahaya terlalu terang.

Untuk potret pula, tekstur kulit akan kelihatan lebih semula jadi tanpa kesan HDR berlebihan. Selain itu, Blueprint Color Model direka untuk meniru cara mata manusia melihat perubahan warna, sekali gus menghasilkan gambar dengan kualiti setaraf kamera profesional tetapi realistik.

Teknologi ini dijangka menjadikan siri X300 baharu kelak lebih relevan untuk kegunaan harian seperti mengambil gambar wajah, makanan, atau suasana malam kerana hasilnya lebih dekat dengan apa yang dilihat oleh mata manusia. Ini bukan bermaksud model sedia ada tidak relevan, tetapi dengan sokongan teknologi baharu ini, pengalaman fotografi dijangka akan bertambah baik untuk pengguna.
Pendekatan ini mengingatkan kepada konsep True-to-Color yang digunakan oleh Huawei di mana hasil imej cuba mengekalkan warna sebenar seperti yang dilihat mata. Namun, buat masa ini belum dapat dipastikan sama ada teknologi vivo ini mampu memberikan hasil yang setanding atau lebih baik.

