Nothing menawarkan kemaskini baharu untuk peranti terkini siri Nothing 4(a) dengan penambahbaikan yang menekankan kebolehgunaan harian yang lebih baik, keseimbangan fokus serta tahap penyesuaian sistem yang lebih mendalam. Antara kemaskini yang diberikan adalah seperti berikut:
- Live Updates Pada Glyph Bar

Ciri Live Update kini membolehkan maklumat penting seperti status perjalanan, penghantaran serta pemasa dipaparkan terus pada Always-On Display (AOD), Status Bar, Lock Screen, dan Notifications. Apabila telefon diletakkan berdekatan, Glyph Bar turut memaparkan kemas kini tersebut secara serentak melalui pencahayaan lampu baharu. Dengan integrasi ini, pengguna boleh memantau kemaskini dengan lebih mudah tanpa perlu membuka aplikasi. Ia menjadikan pengalaman harian lebih lancar dan menyeluruh kerana maklumat sentiasa tersedia sebaik sahaja anda melihat skrin atau Glyph Bar.
- Relaxation Hub

Widget Breathing Break baharu hadir dengan tiga pilihan mod iaitu Focus, Relax, dan Calm. Setiap mod menggunakan corak haptik yang direka khas untuk membimbing pernafasan, membantu pengguna menenangkan diri, mengurangkan tekanan, dan meningkatkan tumpuan sepanjang hari. Dengan ini, pengguna akan lebih mudah mengatur ritma pernafasan mereka secara konsisten sekali gus menjadikan pengalaman harian lebih seimbang dan menyokong kesejahteraan mental serta fizikal.
- Essential Apps Drawer

Bahagian aplikasi penting kini memaparkan aplikasi yang disyorkan. Pengguna boleh menambah aplikasi tersebut terus ke skrin utama tanpa perlu membuka Playground. Dalam konteks Nothing OS, Playground ialah ruang khas yang berfungsi sebagai pusat aplikasi dan widget tambahan. Ia membolehkan pengguna mengurus, serta menyesuaikan aplikasi dan ciri yang tersedia dengan lebih mendalam. Dengan adanya Essential Apps Drawer, pengguna tidak lagi perlu masuk ke Playground.
- Lock Screen Updates

Rekaan jam baharu daripada Phone (3a) Community Edition kini turut diberikan pada siri baharu ini hasil kerjasama dengan komuniti. Ia hadir dengan gaya tipografi eksklusif serta animasi unik yang menambah sentuhan menarik pada paparan. Sokongan Depth Effect (Beta) juga disertakan untuk memberikan kesan visual lebih mendalam. Selain itu, pengguna boleh melaras saiz dan kedudukan jam, menjadikan susun atur lebih fleksibel dan benar-benar mengikut gaya peribadi masing-masing.
- AI Eraser
AI Eraser membolehkan pengguna memadam objek yang tidak diingini dalam gambar sama ada orang di latar belakang, pantulan atau kawasan yang dipilih secara manual. Menurut Nothing, proses ini dijalankan sepenuhnya pada peranti tanpa melibatkan storan awan, sekali gus memastikan privasi pengguna lebih terjamin. Namun, perlu diingat bahawa penggunaan AI Eraser akan menyingkirkan fungsi Ultra XDR pada gambar yang telah disunting.
Kemas kini ini mula diberikan terlebih dahulu kepada pengguna siri Nothing Phone (4a). Peranti Nothing yang lebih lama akan menerimanya secara berperingkat dalam beberapa minggu akan datang.
We’re excited to bring a series of Nothing OS updates to Phone (4a) series, improving everyday usability, focus, and customisation across the system.
— Nothing (@nothing) March 17, 2026



