
MANDALIKA, Indonesia – VOGE Racing Team bakal tampil dengan beberapa pembaharuan teknikal menjelang Pusingan Ke-4 Kejuaraan Asia Road Racing Championship (ARRC) 2026 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Mandalika hujung minggu ini bagi kategori Underbone 150 (UB150).
Menurut Team Principal VOGE Racing Team, Azlan Shah Kamaruzaman, pasukan akan menggunakan perlumbaan di Mandalika sebagai platform untuk menguji beberapa komponen baharu dalam usaha meningkatkan prestasi jentera.
“Kita akan menguji setup baharu melibatkan camshaft, sistem ekzos dan juga nisbah gearbox. Pasukan memang bersedia untuk mencari setup yang terbaik. Kami masih kekal positif untuk terus memperbaiki jentera dan sasaran kami tidak pernah berubah iaitu sentiasa berada di kelompok hadapan,” katanya.
Pengenalan beberapa komponen baharu ini dijangka memberikan data penting kepada pasukan dalam mencari kombinasi paling sesuai dengan karakter Litar Mandalika yang terkenal dengan laluan pantas serta selekoh teknikal.
Walaupun masih dalam fasa pembangunan jentera, VOGE Racing Team optimis setiap perubahan yang dilakukan mampu memberi peningkatan prestasi sepanjang perlumbaan dan membantu pelumba bersaing dengan lebih kompetitif.
Pusingan Ke-4 ARRC 2026 di Mandalika dijangka menjadi medan penting buat VOGE Racing Team untuk mengesahkan keberkesanan pakej baharu tersebut sebelum menghadapi baki saingan musim ini.
Dengan sasaran yang kekal sama iaitu berada di kelompok hadapan, pasukan berharap segala usaha pembangunan yang dilakukan mampu diterjemahkan kepada keputusan yang lebih baik pada hujung minggu ini.
The post VOGE Racing Team Uji Pelbagai Komponen Baharu Di Mandalika, Kekal Sasar Kelompok Hadapan appeared first on TW Media.

