
JDT Racing Team mengesahkan pelumba mereka, Andi Farid Izdihar, tidak dapat beraksi pada Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) selepas mengalami kecederaan dalam satu insiden perlumbaan di Mandalika Racing Series.
Menurut kenyataan rasmi pasukan, pemeriksaan perubatan mendapati pelumba Indonesia itu mengalami beberapa keretakan tulang dan kini sedang menjalani rawatan di bawah pemantauan pasukan perubatannya. Keadaan tersebut memaksa Andi diketepikan daripada saingan ARRC sehingga pulih sepenuhnya.
JDT Racing Team menegaskan bahawa kesihatan dan proses pemulihan Andi menjadi keutamaan mereka ketika ini. Pasukan itu turut memberi jaminan akan terus memberikan sokongan penuh sepanjang proses rehabilitasi bagi memastikan beliau dapat kembali berlumba dalam keadaan terbaik.
Seluruh warga JDT Racing Team turut menzahirkan doa dan sokongan kepada Andi serta keluarganya agar proses pemulihan berjalan lancar. Pasukan berharap pelumba itu dapat kembali ke litar dalam keadaan lebih kuat selepas sembuh sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami.
The post Andi Farid Izdihar Sah Terlepas ARRC Pusingan 4 Akibat Kecederaan appeared first on TW Media.






