Vokalis kumpulan rock terkenal Bumiputra Rockers (BPR), Joey, 63, dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 8.11 pagi, hari ini.
Berita sedih itu dikongsikan isterinya, Zarinah Zainal, menerusi satu hantaran di Facebook.

“Assalamualaikum, saya isteri kepada Johari Mat Rozekhi (Joey BPR) ingin memberitahu bawaha Johari telah kembali kerahmatullah pada 29 Ogos 2026, 8.11 pagi di hospital HKL sebentar tadi,” tulisnya.
Menerusi perkongsian sama, Zarinah turut memohon orang ramai agar mendoakan Allahyarham.
“Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah,” katanya.
Rebah Ketika Buat Persembahan
Menurut laporan, Joey sebelum itu dilaporkan rebah ketika sedang mengadakan persembahan di Laman Santai, Istana Budaya, semalam.
Allahyarham kemudiannya dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Zarinah dalam satu kenyataan memaklumkan doktor mengesahkan berlaku pendarahan serta komplikasi akibat jantung tersumbat.
Joey Aktif Dalam Dunia Muzik Sejak 1980-an
Untuk rekod, Joey atau nama sebenarnya Johari Mat Rozekhi mula aktif dalam arena muzik sejak era awal 1980-an dan terus berkarya sehingga ke penghujung hayatnya.
Pemergian vokalis BPR itu pastinya meninggalkan kesan buat keluarga, rakan-rakan serta peminat muzik rock tempatan yang mengikuti perjalanan seninya selama lebih empat dekad.
Al-Fatihah. Semoga roh Allahyarham Joey BPR dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

MV ‘Fallen Angel’ Jennie BLACKPINK Dikecam, Didakwa Sarat Unsur Pemujaan Dan Satanic
The post Vokalis BPR, Joey Meninggal Dunia Pada Usia 63 Tahun first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.






