
Setahun selepas Volvo Malaysia mengumumkan SUV elektrik mewah mereka dengan 7 tempat duduk iaitu Volvo EX90, hari ini mereka telah mengemaskini model tersebut dengan nama EX90 Ultra Twin. Sekali pandang nampak sama namun apa yang jelas berbeza antara EX90 Ultra Twin dengan versi terdahulu EX90 Twin Performance adalah ketiadaan sistem LIDAR yang terdapat pada bumbung cermin hadapan.

Menurut Volvo, walaupun tiada sistem LIDAR pada EX90 Ultra Twin, ia masih mengekalkan ciri-ciri keselamatan bukan sahaja untuk penumpang, malah kepada nyawa selain penumpang bagi memastikan kenderaan mereka selamat untuk semua. Model ini juga menggunakan cip pemprosesan NVIDIA DRIVE AGX berteraskan Orin.
Antara ciri pembaharuan lain yang dibawakan oleh EX90 yang dikemaskini adalah kuasa yang mampu dijana hasil pacuan semua roda iaitu setinggi 500kW / 680hp yang membolehkan pecutan 0-100km/j sepantas 4.2 saat dan kelajuan maksimum 180 km/j. Satu lagi ciri pembaharuan lain adalah bumbung elektrokromatik yang tidak memerlukan selapisan penebat cahaya mahupun aksesori lain. Bumbung elektrokromatik ini juga pertama kali digunakan untuk Volvo ES90. Untuk pengecasan pula, EX90 telah dikemaskini dengan senibina pengecasan 800V, membolehkan pengecasan 10-80% dalam masa 22 minit menggunakan pengecas DC 350kW.

Meskipun senibina pengecasan dikemaskini, ia menggunakan bateri yang hampir sama berkapasiti 106 kWh, memberikan jarak perjalanan sejauh 617KM WLTP. Pengecas AC 11kW memberikan waktu pengecasan 0-100% selama 10 jam. Ruang dalaman dilengkapi kemasan kulit Nappa dengan tempat duduk hadapan yang menyokong fungsi urut dan pengudaraan.

Volvo EX90 Ultra Twin ditawarkan pada harga RM 428,888 dan hadir dengan jaminan 5 tahun serta jaminan bateri 8 tahun dan kedua-dua jaminan ini diberikan tanpa sebarang had perbatuan. Diskaun sekitar RM 28,000 ditawarkan untuk 100 pembeli pertama yang akan menerima rebat RM25,000 dan juga set pengecasan rumah bernilai RM 3,000. Bagi anda yang berminat dengan SUV elektrik yang menawarkan 7 tempat duduk, Volvo EX90 Ultra Twin boleh memenuhi keperluan anda.






