Harga diesel turun kepada RM2.10 mampu redakan tekanan inflasi - TA Research

LocalBusiness & Finance
22 Jun 2026 • 12:38 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Harga diesel turun kepada RM2.10 mampu redakan tekanan inflasi - TA Research Image from: Harga diesel turun kepada RM2.10 mampu redakan tekanan inflasi - TA Research hamden22/06/2026 - 12:38 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Jun - Keputusan kerajaan menurunkan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter mulai Julai 2026 dijangka membantu meredakan tekanan inflasi dalam negara, menurut TA Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata ia dijangka dapat dilakukan menerusi pengurangan kos pengangkutan dan logistik, sekali gus menjadikan kenaikan harga pengguna yang lebih sederhana dalam tempoh terdekat.

 

Katanya, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memperkukuh penyasaran subsidi diesel, selain membantu mengurangkan kos pengedaran yang memberi kesan langsung kepada harga barangan dan perkhidmatan.

 

“Penurunan harga diesel dijangka memberikan sedikit kelegaan kepada kos pengangkutan dan logistik, yang seterusnya boleh menyumbang kepada kadar inflasi yang lebih sederhana dalam beberapa bulan akan datang,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Bagaimanapun TA Research berkata, kesan sebenar terhadap inflasi masih bergantung kepada butiran pelaksanaan akhir yang bakal diumumkan kerajaan, termasuk mekanisme subsidi, kriteria kelayakan serta sebarang kuota penggunaan yang ditetapkan.

 

Harga Minyak Mentah Global Kekal Penentu Utama Inflasi

Firma itu menambah, di sebalik perkembangan positif itu faktor luaran khususnya pergerakan harga minyak mentah global masih menjadi antara penentu utama kepada hala tuju inflasi domestik.

 

Menurutnya, ketegangan geopolitik di Asia Barat yang memuncak antara pertengahan Mac hingga Mei 2026 telah menyebabkan harga minyak mentah Brent melonjak melepasi AS$100 setong berikutan kebimbangan terhadap gangguan bekalan dan risiko konflik berpanjangan melibatkan Iran dan Amerika Syarikat.

 

Namun, kebimbangan tersebut mula reda selepas kedua-dua negara menandatangani perjanjian damai awal yang merangkumi komitmen melanjutkan gencatan senjata serta memulihkan secara berperingkat aktiviti perkapalan melalui Selat Hormuz.

 

Perkembangan itu telah mengurangkan risiko kejutan bekalan minyak global dan menyumbang kepada penyederhanaan harga minyak mentah dalam pasaran antarabangsa.

 

Walaupun begitu, TA Research menjangkakan proses normalisasi bekalan global akan mengambil masa memandangkan syarikat perkapalan, pengendali insurans dan pedagang tenaga masih berhati-hati sehingga keadaan keselamatan benar-benar stabil.

 

“Walaupun jangkaan penurunan harga minyak semakin meningkat, minyak mentah Brent dijangka kekal melebihi purata sejarahnya dalam tempoh terdekat berikutan ketidaktentuan geopolitik yang masih berlarutan serta rundingan ke arah penyelesaian damai yang lebih menyeluruh,” katanya.

 

Unjuran Kadar Inflasi

Secara keseluruhannya, penganalisis mengekalkan unjuran harga minyak mentah global pada purata antara AS$80 hingga AS$100 setong bagi baki tahun 2026.

 

Berdasarkan jangkaan tersebut, kadar inflasi Malaysia diunjurkan berada dalam lingkungan 2.1% hingga 2.6% tahun ke tahun pada 2026, sedikit lebih tinggi berbanding julat unjuran Bank Negara Malaysia antara 1.5% hingga 2.5%.

 

Katanya, gabungan harga minyak yang masih tinggi dan langkah penyasaran subsidi yang lebih berkesan dijangka menjadi faktor utama yang akan mempengaruhi landskap inflasi negara sepanjang tahun ini. - DagangNews.com

Terkini featured standard