hamden22/06/2026 - 18:50 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Jun – Kerajaan akan menyeragamkan harga runcit diesel di seluruh negara serta melaksanakan mekanisme subsidi baharu di bawah BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) berkuat kuasa 1 Julai 2026, sebagai sebahagian daripada pembaharuan penyasaran subsidi bahan api.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata golongan bukan warganegara tidak lagi akan menikmati subsidi diesel, manakala penjimatan daripada pelaksanaan itu akan disalurkan semula kepada rakyat Malaysia yang layak.
“Mulai 1 Julai 2026, harga runcit diesel seluruh negara akan ditetapkan pada paras tanpa subsidi. Sebahagian penjimatan digunakan untuk manfaat rakyat, termasuk penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter untuk pengguna kenderaan diesel yang layak,” katanya pada sesi taklimat media hari ini.
Taklimat tersebut turut disertai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, serta wakil Kementerian Pengangkutan.
Amir Hamzah berkata pelaksanaan BUDI Diesel bertujuan menyelaraskan mekanisme subsidi di seluruh negara melalui sistem yang lebih seragam, telus dan mudah digunakan, dengan penggunaan MyKad sebagai kaedah pengesahan kelayakan subsidi bagi warganegara.
Menurutnya, seramai 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian akan menerima subsidi diesel pada harga RM2.10 seliter di semua stesen minyak di negara ini melalui mekanisme baharu tersebut.
Selain itu, Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) turut diperluaskan ke Sabah dan Sarawak bagi membolehkan sekitar 70,000 kenderaan komersial yang layak menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter menggunakan kad fleet syarikat minyak.
Kerajaan berkata, pelaksanaan itu merupakan kesinambungan agenda penyasaran subsidi bagi mengurangkan ketirisan, penyalahgunaan serta aktiviti penyeludupan, di samping memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar layak.
“Penurunan harga diesel bersubsidi adalah antara cara penjimatan disalurkan semula kepada rakyat, selain bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah yang diperkukuh,” kata Amir Hamzah.
Di bawah mekanisme baharu itu, sistem BUDI Diesel akan disepadukan dengan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) menggunakan MyKad sebagai alat pengesahan kelayakan, manakala kaedah pembayaran kekal seperti biasa termasuk tunai, kad debit, kad kredit dan e-dompet terpilih.
Bagi penerima sedia ada bantuan tunai RM400 di bawah BUDI Diesel Individu, kerajaan berkata bantuan tersebut akan digantikan dengan subsidi terus di stesen minyak tanpa perlu permohonan baharu.
Sebagai persediaan pelaksanaan penuh, akses awal BUDI Diesel akan dibuka mulai 27 Jun 2026 kepada pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia.
Setiap individu layak akan menerima had kelayakan asas sehingga 200 liter sebulan, dengan tambahan 100 liter sebulan boleh dipohon bagi pemilik kenderaan jenis pikap dan jip, menjadikan jumlah maksimum 300 liter sebulan bagi kategori tersebut.
Katanya, pendekatan itu direka untuk memastikan subsidi berdasarkan penggunaan sebenar, di samping memberikan fleksibiliti kepada pengguna dalam mengurus penggunaan bahan api mereka.
Selain itu, mekanisme subsidi sedia ada bagi sektor strategik dan kritikal seperti nelayan, petani kecil serta pengangkutan awam akan terus dikekalkan.
Pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak kelayakan subsidi serta memohon tambahan kuota melalui portal rasmi BUDI MADANI bermula hari ini, termasuk urusan secara fizikal di pejabat LHDN dan UTC. - DagangNews.com






