VS Industry pada kedudukan terbaik raih pertumbuhan hasil berterusan - Maybank IB

Business & FinanceStartup
15 Aug 2024 • 11:59 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

VS Industry pada kedudukan terbaik raih pertumbuhan hasil berterusan - Maybank IB

herman

15/08/2024 - 11:59

KUALA LUMPUR 15 Ogos - VS Industry Berhad berada di landasan tepat untuk pertumbuhan keuntungan secara berturutan, didorong oleh pengembangan perniagaan dan peningkatan margin hasil daripada usaha penstrukturan semula, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

Menurut firma penyelidikan itu, penambahbaikan dalam rantai nilai telah menunjukkan kemajuan positif penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) itu pada suku ketiga tahun kewangan 2024 (3QFY24) dan dijangka meningkatkan margin keuntungan dengan lebih lanjut.

Selain itu, katanya, kemudahan dan tanah kosong VS Industry di Johor meletakkannya pada kedudukan yang baik untuk memperoleh permintaan EMS baharu ketika sektor ini sudah pulih.

"Kami menaikkan ramalan keuntungan FY25/FY26 untuk VS Industry sebanyak 4%/21% disebabkan oleh sumbangan yang meningkat daripada pesanan baharu di Filipina.

"VS Industry telah mengumumkan ia akan memulakan pengeluaran secara besar-besaran untuk pesanan ini pada 1QCY25, dengan jangkaan sumbangan jualan tambahan sebanyak RM0.3 bilion /RM1.2 bilion dalam FY25/FY26," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Maybank IB mengekalkan saranan 'Beli' VS Industry dengan harga sasaran (TP) RM1.46 yang baharu berbanding RM1.41 sesaham sebelum ini.

"Kami mengambil kira potensi kenaikan keuntungan daripada pelanggan baharu yang dijangka menyertai menjelang akhir 2024, dengan sumbangan keuntungan yang dijangkakan dalam FY26. Kekalkan Beli," jelasnya.

Firma penyelidikan itu seterusnya melihat tempahan baharu di Filipina dengan jangkaan hasil sebanyak RM1.5 bilion yang diumumkan semalam sebagai perkembangan positif.

"Walaupun kami melihat perkembangan terkini ini dengan positif, ia tidak mengejutkan kami.

"Dalam taklimat keputusan Jun lalu, VS Industry telah menunjukkan potensi pesanan baru di Filipina walaupun pada masa itu tiada panduan pendapatan diberikan.

"Pesanan baharu ini melibatkan pemasangan box-build untuk tiga model produk elektronik pengguna," katanya. - DagangNews.com