amree26/06/2026 - 10:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Jun — VS Industry Berhad terus berdepan tekanan operasi apabila kapasiti pengeluaran masih melebihi permintaan semasa, dan menyebabkan aset tidak digunakan sepenuhnya.
Menurut Public Investment Bank (PublicInvest), perkembangan negatif itu dikhuatiri meningkatkan risiko caj rosot nilai, selepas mencatat kerugian dua suku berturut-turut bagi 2QFY26 dan 3QFY26.
Tambah firma penyelidikan tersebut, prospek jangka pendek kumpulan berkenaan dilihat masih lagi kekal mencabar susulan ketidaktentuan geopolitik global serta sentimen pengguna yang terus lemah.
"Justeru, kami menyemak turun unjuran FY26 VS Industry kepada kerugian bersih teras RM53.3 juta berbanding jangkaan sebelumnya, setelah mengambil kira andaian kos yang lebih tinggi," katanya.
Bagaimanapun, PublicInvest menjangkakan prestasi kumpulan akan beransur pulih pada 4QFY26 apabila momentum tempahan daripada pelanggan utama menunjukkan peningkatan selain penggunaan aset tetap.
Syarikat itu ujarnya, dijangka mempercepatkan pengiktirafan caj rosot nilai pada FY26 berbanding dilaksanakan secara berperingkat, dan membolehkan aliran hasil lebih stabil pada FY27 dan FY28.

Susulan itu, firma tersebut menaikkan unjuran pendapatan FY27 dan FY28 secara purata 78%, selain mengekalkan saranan 'neutral' terhadap saham VS Industry dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi.
"Kami menetapkan 21 sen daripada 17 sen berdasarkan gandaan 17 kali pendapatan sesaham (EPS) CY27 selepas ia melalui fasa sumbangan terhad segmen peningkatan rantaian nilai," kata PublicInvest.
Jelasnya, tempoh berkenaan antara faktor utama yang dikenal pasti menjejaskan teruk prestasi kumpulan tersebut berikutan salah satu pelanggan utama melaksanakan penstrukturan semula produk.
Situasi itu menyebabkan kadar penggunaan bagi projek bernilai tambah tinggi seperti getah silikon cecair dan anodising menjadi rendah, sedangkan margin tinggi apabila VS Industry beroperasi penuh.
Bagi mengurangkan tekanan kos ujar PublicInvest, ia melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk sistem perancangan sumber perusahaan (ERP) serta mendapatkan perunding kecerdasan buatan (AI).
"Pada masa sama, syarikat meneruskan langkah pengurangan kos tetap dan berusaha mempelbagaikan pelanggan merentasi pelbagai sektor, namun tidak pula bercadang melupuskan mesin lama," jelasnya.
Aset tersebut masih digunakan VS Industry walaupun pada kadar rendah, dan kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek memandangkan ketidaktentuan perdagangan global dan risiko inflasi.
PublicInvest berkatam komitmen kumpulan terhadap kawalan kos dan kepelbagaian pelanggan dijangka menyokong pemulihan keuntungan secara beransur-ansur dalam tempoh sederhana. - DagangNews.com






