GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang memberi jaminan bahawa semua pintu masuk antarabangsa di negeri ini termasuk lapangan terbang dan pelabuhan berada dalam keadaan siap siaga serta dikawal rapi susulan kebimbangan penularan hantavirus.
Walaupun risiko jangkitan di Malaysia disifatkan masih rendah, namun menurut Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen, langkah itu selaras dengan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
KKM telah memperketatkan saringan kesihatan di semua pintu masuk negara termasuk di Pulau Pinang, selain meningkatkan kapasiti makmal bagi pengesanan awal jangkitan.
Daniel berkata, setakat ini KKM memaklumkan situasi penularan lebih tertumpu di beberapa negara Eropah, namun Malaysia masih berada pada tahap risiko rendah.
“Bagaimanapun, kita telah mengambil langkah awal termasuk memperketatkan kawalan di pintu masuk antarabangsa serta memperkukuh keupayaan makmal untuk mengesan sebarang kemungkinan kes.
"Setiap pintu masuk utama ada pegawai kesihatan yang ditempatkan. Ini adalah sebahagian daripada prosedur standard operasi bagi mengelakkan penularan penyakit berjangkit,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tahap kesiapsiagaan negeri berhubung kemasukan pelancong dan kru kapal termasuk melalui terminal kapal persiaran di Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Daniel berkata, setiap pintu masuk antarabangsa di negeri ini turut mempunyai pegawai kesihatan yang bertugas dan menjalankan pemeriksaan kesihatan awam terhadap ketibaan penumpang serta kru kapal.
“Protokol ini memang telah lama wujud, bukan baharu. Antaranya termasuk penggunaan kamera pengesan suhu bagi mengenal pasti simptom demam atau jangkitan awal,” katanya.
Tambah beliau, berdasarkan data KKM, bermula 1 Januari hingga 2 Mei tahun ini, sebanyak 22,367 kapal dan bot telah diperiksa di pintu masuk antarabangsa seluruh negara.
"Dalam tempoh sama, sebanyak 2,421 sijil praktis dan 1,146 Sijil Sanitasi Kapal (SSC) telah dikeluarkan bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan kesihatan awam, sanitasi serta kawalan infestasi," ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa setakat ini tiada kes hantavirus dikesan di Malaysia dan situasi masih terkawal, walaupun beberapa negara lain dilaporkan mempunyai kes.
“Buat masa ini Malaysia masih bebas daripada kes. Kita tidak perlu panik, tetapi langkah berjaga-jaga tetap diteruskan,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan, Malaysia dalam tahap kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi ancaman penularan jangkitan hantavirus walaupun tiada kes melibatkan rakyat negara ini direkodkan.
Beliau berkata, pendekatan itu penting memandangkan cabaran kesihatan awam kini bersifat global dan tiada negara yang benar-benar selamat tanpa langkah berwaspada berterusan.
Hantavirus ialah virus bawaan tikus yang boleh menjangkiti manusia melalui udara tercemar dengan sisa kotoran, air kencing atau air liur haiwan itu.
Dzulkefly berkata, virus itu tidak wajar dipandang remeh kerana komplikasinya berpotensi membawa maut dengan kadar kematian bagi Sindrom Paru-paru Hantavirus (HPS) boleh mencecah 30 hingga 40 peratus.
Media antarabangsa melaporkan negara Eropah meningkatkan langkah pemantauan dan pengasingan selepas berlakunya wabak hantavirus yang dikaitkan dengan kapal persiaran berbendera Belanda MV Hondius.



