
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Sejak semalam (30 September), rakyat Malaysia sudah mula menikmati RON95 berharga RM1.99 seliter dengan had 300 liter sebulan di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Selain memiliki MyKad, syarat kelayakan program subsidi bersasar petrol RON95 ini mestilah memiliki Lesen Memandu Malaysia (LLM) yang masih aktif. Sementara mereka yang tidak memiliki lesen pula perlu membelinya pada harga RM2.60 seliter.
Inisiatif ini merupakan hak setiap rakyat Malaysia yang memenuhi syarat dalam usaha kerajaan mengawal ketirisan subsidi petrol dari digunakan pihak yang tidak sepatutnya.
Tular majikan arah pekerja guna BUDI95 untuk syarikat
Bagaimanapun, baru-baru ini tular di media sosial seorang lelaki meluahkan ketidakpuasan hati apabila mendakwa diarahkan oleh pihak syarikat untuk menggunakan BUDI95 yang diterima bagi urusan kerja.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Threads lelaki itu, dia turut menyertakan gambar tangkap layar mesej daripada majikannya di aplikasi WhatsApp.
Di dalam mesej tersebut, majikannya berkata bermula 30 September, semua pekerja yang merujuk kepada para pemandu perlu mengisi minyak menggunakan MyKad mereka sendiri bagi memanfaatkan subsidi yang diberikan kerajaan.
Siap suruh guna MyKad ahli keluarga kalau kuota sudah habis
Lebih teruk lagi, arahan berkenaan turut meminta para pekerja menggunakan IC ahli keluarga sekiranya mereka sudah kehabisan kuota 300 liter selain menyeru agar berjimat dalam penggunaan minyak dipercayai untuk menjimatkan kos operasi syarikat itu.
“Mula 30 September semua pemandu wajib guna kad pengenalan isi minyak. Jika habis kuota cuba dapatkan kad pengenalan ahli keluarga. Tolong jimat penggunaan minyak,” tulis majikannya dalam perbualan tersebut.
Susulan itu, lelaki berkenaan meminta pendapat orang ramai adakah tindakan terbabit adil bagi pekerja sepertinya.
“Macam mana pula kalau majikan nak gunakan hak kita ini buat pakai untuk kereta hari-hari hantar orang? Ada cadangan?,” tulis lelaki itu.
Netizen tak setuju dengan tindakan majikan lelaki itu
Memindai ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial tidak bersetuju dengan tindakan majikan lelaki terbabit kerana berpendapat bahawa BUDI95 yang diberikan oleh kerajaan adalah hak setiap individu untuk kegunaan diri sendiri.
Tidak hanya itu, mereka turut meminta agar lelaki berkenaan mempertahankan haknya serta membuat laporan kepada pihak berkaitan.
Pun begitu, tidak dapat dipastikan sama ada perbualan WhatsApp berkenaan benar dihantar oleh majikan atau sekadar konten yang dimuat naik di media sosial.
Untuk info, syarikat pengangkutan boleh mendapatkan subsidi petrol RON95 dengan memohon ‘fleet card’ di bawah program Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
Syarikat boleh memohon secara atas talian menerusi Sistem MySubsidi (Modul Petrol) di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/ mulai 15 September 2025.
Maklumat yang diperlukan termasuk:
- Butiran maklumat syarikat
- Maklumat wakil syarikat; dan
- Pilihan syarikat minyak antara jenama PETRONAS, Shell, Petron, Caltex, BHP atau FIVE.
Antara kenderaan yang layak di bawah program ini adalah:
Sektor Pengangkutan Darat Awam
1. Teksi
2. Kereta Sewa
3. Bas Sekolah
4. Van Mayat
5. Ambulans
6. Bomba
7. Bas Pengantara
8. Bas Berhenti-henti
9. Bas Mini
Sektor Pengangkutan Darat Barangan
1. Lori Kargo Am
2. Semi Panel Van
3. Lori Luton/Kotak
4. Panel Van
5. Window Van
6. Lori Food Catering
7. Lori Rigid – Refrigerated
8. Lori Rigid – Perkhidmatan Bergerak
9. Van Rigid – Perkhidmatan Bergerak
10. Lori Rigid – Kandang Haiwan
11. Van Food – Catering
12. Lori Rigid – Hasil Pertanian
Setelah permohonan diluluskan syarikat boleh mula memohon fleet card pula dengan mengemukakan dua dokumen yang dijana melalui Sistem MySubsidi kepada syarikat minyak pilihan bagi permohonan fleet card.
Dua dokumen berkenaan adalah:
(i) Surat Kelayakan Membeli Petrol Bersubsidi; dan
(ii) Senarai Kenderaan yang diluluskan.
Maklumat lanjut baca di sini.





