
KUALA PILAH – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengingatkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu dilantik supaya tidak menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi, keluarga atau sahabat handai.
Baginda bertitah, perkara itu termasuk ketika membuat keputusan berkaitan pemberian tender atau projek kerajaan.
“Beta turut mengingatkan agar kamu menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan jujur, adil dan profesional. Jangan sesekali menyalahgunakan kuasa yang diberikan untuk kepentingan peribadi, keluarga ataupun sahabat handai terutamanya dalam membuat keputusan pemberian tender atau projek kerajaan,” titah baginda demikian ketika Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti di sini hari ini.
Titah baginda, negara amat memerlukan pemimpin yang mempunyai pendirian tinggi atau persons of honour bagi memastikan pentadbiran berjalan dengan adil dan berkesan.
“Menyalahgunakan kuasa dan kedudukan yang ada akan menjurus kepada ketidakadilan serta kerapuhan pelaksanaan sesuatu dasar yang telah dirangka untuk kebaikan rakyat,” titah baginda.
Tuanku Muhriz bertitah, rakyat hari ini meletakkan harapan yang tinggi terhadap kerajaan negeri, justeru setiap dasar dan perancangan hendaklah dilaksanakan secara cekap, telus dan berkesan.- KOSMO! ONLINE
The post Jangan salah guna kuasa, kepentingan rakyat diutamakan – Tuanku Muhriz appeared first on Kosmo Digital.






