Negeri Sembilan lantik pegawai bertaraf Exco wakili masyarakat India

LocalPolitics
7 Aug 2026 • 1:34 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Negeri Sembilan lantik pegawai bertaraf Exco wakili masyarakat India

KUALA PILAH: Kerajaan Negeri Sembilan bakal melantik seorang pemimpin masyarakat India daripada MIC sebagai pegawai bertaraf Exco di bawah Pejabat Menteri Besar.

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, langkah itu bagi memastikan penglibatan serta suara masyarakat pelbagai kaum di negeri ini terus diberi ruang.

Ia susulan tiada wakil masyarakat India dalam barisan Exco yang mengangkat sumpah hari ini.

Katanya, pelantikan secara pentadbiran di bawah pihak berkuasa negeri itu akan diputuskan dalam mesyuarat Exco selepas pihak pimpinan MIC mengemukakan calon yang sesuai.

“Kami akan lantik seorang wakil masyarakat India daripada MIC di bawah pihak berkuasa negeri yang bertaraf Exco.

“Ini secara pentadbiran dan bukannya melalui angkat sumpah di istana, demi memberikan ruang kepada masyarakat pelbagai kaum di Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Seri Menanti di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail berkata, kerajaan negeri turut mempertimbangkan pelantikan seorang pegawai khas masyarakat Orang Asli seperti yang dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 31 Julai lalu.

“Itu pun sedang dalam pertimbangan, dan saya akan merujuk kepada Jakoa (Jabatan Kemajuan Orang Asli) rasanya untuk mengemukakan satu nama,” katanya.

Mengenai komposisi pentadbiran baharu, beliau berkata, jumlah Exco kekal 10 orang seperti struktur terdahulu, terdiri daripada lapan wakil Barisan Nasional (BN) dan dua wakil Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, katanya, tiada jawatan Exco Kanan atau Timbalan Exco diwujudkan bagi penggal kali ini selepas perkara itu dibincangkan bersama pimpinan parti.

Mengulas mengenai jawatan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Ismail berkata, pelantikan kedua-dua jawatan itu akan dimuktamadkan di persidangan DUN pada Oktober nanti.

Sementara itu, Ismail menyeru semua Exco yang dilantik supaya memikul amanah rakyat dengan penuh kesungguhan dan tanggungjawab sepanjang tempoh lima tahun pentadbiran.

“Amanah ini bukan satu perkara yang ringan. Saya yakin barisan yang diperkenankan Duli Yang Maha Mulia Tuanku faham tanggungjawab besar mereka untuk menjaga keharmonian, memajukan negeri dan mensejahterakan rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ismail turut menafikan dakwaan berhubung desakan menandatangani dokumen untuk menurunkan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Beliau menegaskan perkara tersebut tidak mempunyai kaitan dengan pentadbiran negeri mahupun proses mengangkat sumpah Exco yang berlangsung hari ini. – UTUSAN

The post Negeri Sembilan lantik pegawai bertaraf Exco wakili masyarakat India appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved