Wakil Tunggal Perseorangan Wanita Negara, Jin Wei, Tersingkir Awal Di Terbuka India

18 Jan 2023 • 8:02 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Jin Wei tewas kepada bekas juara dunia dan juga pilihan keenam dari Thailand, Ratchanok Intanon. - Gambar fail AFP

NEW DELHI - Wakil tunggal negara dalam acara perseorangan wanita, Goh Jin Wei,  tersingkir seawal pusingan pertama pada kejohanan badminton Terbuka India di Dewan Tertutup KD Jadhav, di sini, hari ini.

Pemain profesional dan bekas juara remaja dunia dua kali itu tewas kepada bekas juara dunia dan juga pilihan keenam dari Thailand, Ratchanok Intanon, 13-21, 11-21, dalam masa 27 minit.

Sementara itu, beregu wanita negara dan juga nombor 17 dunia, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien turut terkandas di pusingan pembukaan dengan kekalahan straight set 16-21, 9-21 di tangan beregu China, Li Wen Mei-Liu Xuan Xuan, dalam masa 36 minit.

Kejohanan Jelajah Dunia Super 750, yang menawarkan hadiah wang tunai US$900,000 (RM3.9 juta), menyaksikan kejutan pada pusingan pembukaan apabila beregu lelaki pilihan pertama, Takuro Hoki-Yogo Kobayashi dari Jepun ditunjuk jalan keluar oleh beregu Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae, 13-21, 18-21  dalam masa 39 minit.

Esok, jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, akan membuka kempen dengan menentang pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito. - Bernama