'Walaupun dipecat Bersatu, Mohamed Farid kekal ADUN Kok Lanas'

LocalPolitics
17 May 2026 • 1:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Walaupun dipecat Bersatu, Mohamed Farid kekal ADUN Kok Lanas'
Mohamed Farid kekal ADUN Kok Lanas.

KOTA BHARU - Kedudukan Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas kekal meskipun beliau dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, situasi yang berlaku kepada Mohamed Farid itu berbeza dengan Nenggiri yang menyebabkan berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK).

"Nenggiri sebelum ini kerana keahliannya terpecat susulan menyokong parti lain yang menyebabkan kerusi berkenaan kosong dan berlaku PRK.

"Mohamed Farid dipecat oleh parti dan situasi sama berlaku sebagaimana ADUN di Perlis dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Jadi mengikut Perlembagaan, kerusi mereka kekal milik ADUN berkenaan kerana mereka dipecat," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Mengulas mengenai jawatan Mohamed Farid sebagai Timbalan Speaker, Mohd Amar memberitahu, perkara itu terserah kepada keputusan kerajaan negeri.

"Pejabat Speaker tidak campur tangan dan keputusan itu bergantung kepada kerajaan negeri. Setakat ini saya tidak dimaklumkan dan mendengar berhubung penukaran Timbalan Speaker," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Mohamed Farid dipecat keahlian Bersatu berkuat kuasa pada 11 Mei lalu.

Notis itu dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan, memaklumkan ADUN Kok Lanas itu didapati melanggar FASAL 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

Notis itu turut memaklumkan, Mohamed Farid masih boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini.