ADUN Bersatu dipecat: Pentadbiran Kedah berjalan seperti biasa - Sanusi

LocalPolitics
13 May 2026 • 5:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: ADUN Bersatu dipecat: Pentadbiran Kedah berjalan seperti biasa - Sanusi
Muhammad Sanusi

ALOR SETAR – Pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah berjalan seperti biasa walaupun beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri itu dikenakan tindakan disiplin parti.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, setakat ini, pentadbiran negeri berjalan seperti biasa sementara menunggu proses rayuan dikemukakan oleh ADUN terlibat mengikut prosedur parti terbabit.

“Mereka diberi peluang untuk membuat rayuan dan saya difahamkan setiap ADUN yang dikenakan tindakan boleh merayu dalam tempoh 14 hari,” katanya selepas Mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini melibatkan ADUN Bersatu Kedah selepas dikenakan tindakan disiplin parti.

Muhammad Sanusi berkata, beliau dimaklumkan ADUN terlibat telah mengemukakan rayuan dan proses berkenaan perlu dihormati sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.

“Sehingga rayuan itu didengari dalam proses yang munasabah dan mengikut prosedur parti masing-masing, saya tunggulah proses itu," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak mahu bertindak terburu-buru kerana sebarang keputusan perlu dibuat secara tertib dan berlandaskan prosedur sedia ada.

“Kedah ini kami relaks saja. Tak ada isu apa, tak ada masalah apa. Ini isu dalaman parti.

“Saya juga sudah menghadap dan berbincang dengan Tuanku Sultan Kedah untuk mendapatkan pandangan serta nasihat demi menjaga keharmonian negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, tempoh proses rayuan bergantung kepada pertimbangan parti dan tidak dapat dipastikan buat masa ini.

“Dia diberi masa dua minggu untuk merayu. Rayuan itu nanti akan bersidang.

“Tak bolehlah saya buat keputusan tergesa-gesa. Kalau tiba-tiba Lembaga Rayuan tarik balik keputusan itu, rugi pula,” katanya.