Wan Ahmad Fayhsal nafi keluar kenyataan Wawasan berhasrat capai apa yang Pas gagal lakukan

LocalPolitics
18 Aug 2026 • 6:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Wan Ahmad Fayhsal nafi keluar kenyataan Wawasan berhasrat capai apa yang Pas gagal lakukan
Wan Ahmad Fayhsal

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara (Wawasan), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menafikan beliau mengeluarkan kenyataan seperti digambarkan dalam tajuk yang dilaporkan oleh sebuah portal berita.

Ahli Parlimen Machang itu mendakwa, laporan bertajuk ‘Wawasan berhasrat capai apa Pas gagal lakukan, pikat bukan Melayu untuk PN’ bukan maksud sebenar kenyataan yang dikeluarkan beliau.

“Apa yang saya maksudkan dalam temu bual berkenaan ialah penubuhan Parti Wawasan Negara bertujuan melengkapi dan memperkukuh usaha Perikatan Nasional (PN) bersama Pas, khususnya dalam memperluaskan penerimaan PN dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

“Ia sama sekali bukan bermaksud Wawasan mahu menggantikan Pas, apatah lagi mendakwa Pas telah ‘gagal’dalam usaha tersebut,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial pada Selasa.

Beliau menambah, penggunaan gambarnya pada tajuk berita berkenaan pada peringkat awal turut menimbulkan kekeliruan terhadap maksud sebenar kenyataan yang dikeluarkan.

Namun katanya, beliau menghargai tindakan pihak portal berita berkenaan yang kemudiannya menukar gambar tersebut kepada imej yang lebih sesuai selepas teguran dibuat.

“Saya berharap rakan-rakan media terus memelihara etika dan ketepatan dalam pelaporan, khususnya memastikan tajuk berita benar-benar mencerminkan konteks serta maksud kenyataan asal, supaya tidak menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

“Perbezaan tafsiran boleh berlaku, tetapi jangan sampai tajuk yang dipilih membawa maksud yang tidak pernah disebut oleh sumber asal,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved