
Pembangkang bersedia membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji, namun mahu Perdana Menteri hadir dalam Dewan Rakyat bagi menjawab dan menjelaskan perkara yang dibangkitkan.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pembangkang berpandangan usul membahaskan laporan berkenaan sepatutnya dibentangkan oleh Perdana Menteri selaku individu yang memintanya.
Menurut beliau, pembangkang tidak pernah takut untuk berbahas, sebaliknya mahu mendapatkan penjelasan secara langsung daripada Perdana Menteri dan Menteri yang berkaitan.
“Kita bersedia bahas. Pembangkang bersedia berbahas kalau beliau hadir. Sebab kita nak dengar cross-examine Yang Amat Berhormat Menteri sendiri yang banyak membawa dakwaan ‘sakau, sakau, sakau’ hari ini,” katanya.
Beliau berkata, isu berkaitan Tabung Haji merupakan perkara besar dan tidak sepatutnya dibahaskan secara terburu-buru tanpa memberikan ruang secukupnya untuk pembangkang mengemukakan persoalan serta mendapatkan penjelasan.
Mohon perbahasan ditangguhkan
Wan Ahmad Fayhsal turut mempersoalkan sama ada laporan RCI itu membincangkan secara mendalam pentadbiran ketika Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan, termasuk isu berkaitan kedudukan aset Tabung Haji yang didakwanya pernah diletakkan di bawah pengurusan pihak tertentu.
“Ini semua perkara-perkara yang tak ada dibahaskan dalam laporan RCI secara mendalam,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata pembangkang sebelum ini meminta perbahasan berkenaan ditangguhkan terlebih dahulu kerana terdapat beberapa perkara yang menurutnya masih mempunyai lompong dan memerlukan penjelasan lebih lanjut.
Beliau turut mendakwa pembentangan laporan tanpa perbahasan yang menyeluruh boleh menyebabkan isu tersebut tidak lagi dibincangkan secara mendalam pada masa akan datang.
Baca juga:
- ‘Tak perlu kumpulkan 222 Ahli Parlimen untuk dengar ‘podcast’ kerajaan’ – Wan Fayhsal
‘Parlimen bukanlah one-man show’ – Syed Saddiq bidas pembangkang
Anwar persoal tindakan pembangkang keluar Dewan ketika isu RCI Tabung Haji dibahas
Bukan mengelak
Wan Ahmad Fayhsal menegaskan pembangkang bukan cuba mengelak daripada menghadiri Dewan Rakyat, sebaliknya mahu memastikan perbahasan mengenai RCI Tabung Haji berlangsung secara terbuka dan menyeluruh.
“Kami bukan takut dan bukan bacul. Kami bukan melarikan diri daripada Dewan. Kami mahu berbahas dan kami mahu menyoal balas Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata, pembangkang bersedia menunggu sehingga Perdana Menteri pulih dan kembali ke Dewan Rakyat bagi membolehkan perbahasan mengenai laporan RCI Tabung Haji dilakukan dengan lebih panjang dan terperinci.
Wan Ahmad Fayhsal berharap rakyat dapat memahami pendirian pembangkang yang menurutnya mahu melihat keterbukaan lebih besar dalam isu RCI Tabung Haji serta penjelasan menyeluruh mengenai perkara yang dibangkitkan dalam laporan tersebut.
The post ‘Tak perlu kumpulkan 222 Ahli Parlimen untuk dengar ‘podcast’ kerajaan’ – Wan Fayhsal appeared first on The Reporter.






