Kenyataan Abdul Hadi belakangkan Pengerusi PN – Bersatu Selangor

LocalPolitics
7 Aug 2026 • 4:14 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Belakangkan Pengerusi PN

SHAH ALAM: Tindakan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang menyatakan Bersatu tersingkir daripada gabungan itu secara automatik membelakangkan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Wan Dzahanurin Ahmad berkata, Bersatu masih bersama gabungan itu dan merupakan parti pengasasnya.

“Bersatu kekal komited dan masih bersama PN. Kami adalah parti pengasas PN dan sehingga hari ini terus berbincang, bermesyuarat serta bergerak  dalam memperjuangkan agenda rakyat dan negara.

“Saya ingin menjelaskan sebarang kenyataan rasmi berkenaan status dan keahlian parti-parti komponen dalam PN adalah di bawah bidang kuasa Majlis Pimpinan Tertinggi PN. Sebarang pandangan peribadi tidak mewakili keputusan rasmi gabungan. Abdul Hadi asyik mendahului kenyataan dari Pengerusi PN sendiri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Abdul Hadi dilapor menegaskan kedudukan Bersatu sebagai ahli PN tergugur dengan sendiri apabila Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan membentuk gabungan baharu.

Dalam masa sama, Wan Dzahanuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis memberitahu, Ahli Parlimen Marang itu sepatutnya mengelakkan daripada mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan kekeliruan dan spekulasi tidak perlu.

“Dalam keadaan rakyat sedang berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk kos sara hidup, banjir dan isu kebajikan, keutamaan kita adalah untuk memastikan kestabilan politik dan menyalurkan khidmat terbaik kepada rakyat.Kepimpinan

“Bersatu di semua peringkat akan terus bekerja bagi memperkukuhkan gabungan itu sebagai wadah perjuangan alternatif yang berteraskan prinsip integriti, amanah dan kebajikan rakyat.

“Bersatu tetap setia. Bersatu masih bersama PN. Bersatu tetap bersama rakyat.

“Akhir kata kenyataan oleh Presiden PAS hari ini tidak berasas dan amat mengelirukan,” tegasnya. – UTUSAN

The post Kenyataan Abdul Hadi belakangkan Pengerusi PN – Bersatu Selangor appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved