
Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Utara, Johor Bahru, Wan Harriz Wan Abdul Qayyum mengharumkan nama Malaysia apabila muncul tempat pertama dalam Play-Off Qualifier Round, Hippo English The Contest 2026 di Doha, Qatar, sekali gus melayakkan diri ke pusingan akhir dunia di Spoleto, Itali pada Oktober ini.
Wan Harriz menjadi satu-satunya wakil SK Tasek Utara yang beraksi dalam pertandingan bahasa Inggeris bertaraf antarabangsa berkenaan di Doha dari 2 hingga 9 Ogos lalu.
Lebih membanggakan, perjalanan Wan Harriz ke pentas antarabangsa itu bukan mudah apabila dia terlebih dahulu disahkan positif influenza sehingga terpaksa menangguhkan penerbangan. Ibunya, Nur Saliha, berkata anaknya turut berdepan keletihan akibat perjalanan jauh sehingga beberapa kali tertidur ketika waktu makan dan ketika berada di dalam kereta.
Menurutnya, meskipun berdepan keadaan tersebut, Wan Harriz tetap menggagahkan diri untuk meneruskan pertandingan selepas pulih dan akhirnya berjaya membawa pulang kejayaan dari Doha.
“Sebagai ibu, setiap pencapaian anak sesuatu yang sangat bermakna. Terima kasih atas sokongan luar biasa semua. Kemenangan ini untuk semua yang percaya kepada impiannya,” katanya menerusi perkongsian di Threads.

@starsek.bangsajohor Untuk makluman semua, Wan Harriz dari Kelas 4 Sapphire telah berjaya meraih Tempat Pertama (1st Place) dalam Play-Off Qualifier Round, Hippo English The Contest 2026 di Doha, Qatar. Dengan pencapaian ini, Wan Harriz seterusnya melayakkan diri ke World Final Round yang akan berlangsung di Spoleto, Itali pada bulan Oktober 2026. 🇮🇹🏆#yabdatoonnhafizghazi #ybdrnaqibghazali #jabatanpelajarannegerijohor #SekolahRintisBangsaJohor #hippochallenge
Baca juga:
Polis jalankan siasatan dakwaan kanak-kanak 12 tahun diekori sebuah kenderaan
Dakwaan penerima bakul makanan didaftar sebagai ahli, PKR Pahang dapatkan penjelasan
Hantaran lelaki minta bakal isteri sediakan bekal sarapan cetus debat netizen
Memetik laporan Harian Metro, Nur Saliha berkata, pihak PIBG turut memberikan sokongan hebat memandangkan Wan Harriz merupakan murid pertama dari SK Tasek Utara yang berjaya mara ke pusingan ketiga pertandingan berkenaan.
Katanya, pertandingan itu menghimpunkan peserta dari lebih 70 negara, dengan pusingan pertama atau Preliminary Round disertai kira-kira 93,000 pelajar di seluruh dunia. Daripada 19 murid yang mewakili sekolah pada pusingan pertama Mac lalu, hanya Wan Harriz berjaya mara ke peringkat seterusnya.
Pada pusingan kedua, National Finals yang berlangsung pada 9 Mei lalu, lebih 5,000 peserta dari Malaysia dan Singapura bertanding bersama lebih 20,000 peserta dari seluruh dunia sebelum Wan Harriz sekali lagi mencipta kejayaan untuk melangkah ke pusingan kelayakan benua di Doha.
Nur Saliha turut memaklumkan terdapat wakil lain dari Malaysia yang layak menyertai pertandingan berkenaan, namun sebahagiannya tidak dapat meneruskan penyertaan akibat kekangan kos.
Kini, Wan Harriz mengambil sedikit masa untuk berehat sebelum kembali memberikan fokus kepada persiapan menghadapi World Final Round di Spoleto, Itali pada Oktober 2026.
The post Wan Harriz harumkan nama Malaysia, muncul juara Hippo English di Qatar appeared first on The Reporter.





