
PETALING JAYA: Pemain tengah Sporting JAX, Wan Kuzain Wan Kamal meluahkan rasa kecewa selepas namanya tidak tersenarai dalam skuad negara ke Piala ASEAN FIFA 2026.
Lebih mendukacitakan, pemain kelahiran Amerika Syarikat itu mendakwa hanya mengetahui perkara berkenaan menerusi media social
Kekecewaan itu diluahkan sendiri oleh Kuzain di media sosialnya yang jelas terkesan dengan cara maklumat terbabit disampaikan namun tetap profesional berdepan situasi berkenaan.
Meskipun terkilan, pemain berusia 28 tahun itu tidak mahu perkara itu menjadi alasan untuk patah semangat, sebaliknya meletakkan fokus untuk menggandakan usaha bagi merebut tempat di masa depan.
“Sudah tentu saya kecewa tidak dipanggil. Lebih mengecewakan apabila mengetahui perkara ini menerusi media sosial. Bagaimanapun, saya perlu bekerja lebih keras untuk menjadi pemain tetap dalam pasukan.
“Saya mendoakan yang terbaik untuk pasukan dan tidak sabar untuk memberi sokongan kepada mereka,” kata Kuzain.
Sebagai rekod, Kuzain meraih debut bersama skuad kebangsaan apabila masuk menggantikan Endrick dos Santos ketika menentang Myanmar pada kempen Piala ASEAN, Julai lalu.
Dia kemudiannya meledak gol pada penampilan keduanya bersama skuad kebangsaan menerusi sepakan percuma menarik untuk membantu Harimau Malaya menang 4-0 ke atas Laos di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.-UTUSAN
The post Wan Kuzain kecewa nama ‘tercicir’ ke Piala ASEAN FIFA appeared first on Utusan Malaysia.




