
ROMPIN – Seorang wanita tidak menyangka kata-kata terakhir anak saudaranya bahawa akan pergi jauh bersama ibu menjadi petanda dia dan adiknya itu akan pergi buat selamanya, hari ini.
Dalam kejadian kebakaran kira-kira pukul 4 pagi tadi, tiga beranak terkorban selepas rumah mereka musnah dalam kejadian kebakaran di Desa Mawar Muadzam Shah di Rompin, hari ini.
Mangsa yang maut dalam kejadan itu ialah Mohd Kahurolaizam Mokhtar,42; isterinya, Siti Zaleha Aluha,31, dan anak mereka Muhamad Putra Rayqal Mohd Kahurolaizam,4.
Suzy Aloha, 37, berkata, dia yang begitu rapat dengan anak saudaranya itu berkunjung ke rumah mangsa kelmarin bagi menghantar kek untuk anak saudaranya itu.
Katanya, dalam kunjungan itu seperti biasa mereka akan bergurau senda dan setiap kali akan pulang anak saudaranya itu akan mengucapkan selamat tinggal.
“Masa hendak pulang dia ada mengucapkan ‘bye bye’ dan kali ini dia kata nak pergi jauh bersama ibunya dan tidak mahu membawa saya.
“Tidak sangka pula selang sehari kejadian dia dan ibunya bersama bapanya akan pergi selamanya meninggalkan kami semua,”katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, kakak mangsa Suhaily Aluha, 35, berkata, dia amat terkejut dan tidak menyangka adiknya akan pergi buat selamanya.
Katanya, dia yang berjanji untuk berjumpa mangsa pada bulan ini terkilan apabila hanya dapat bertemu mangsa dalam keadaan begini.
“Walaupun sering membuat panggilan video, namun kali terakhir saya datang dan berjumpa dengannya adalah pada Hari Raya lalu dan bulan ini memang saya berjanji untuk datang ke rumahnya.
“Tidak sangka pula hari ini saya datang ke sini dia sudah tiada dan hanya melihatnya sudah tidak bernyawa,”katanya yang tinggal di Felda Palong, Negeri Sembilan.
Sementara itu anak mangsa yang terselamat, Putra Aliff Haiqal,16, berkata, juadah ketam masak lemak menjadi juadah terakhir masakan ibunya yang dimakan bersama sekeluarga pada malam itu.
Katanya, semasa makan malam itu juga ibu dan ayahnya memberikan dia dan adiknya menjamah masakan ketam itu terlebih dahulu sebelum mereka bersama-sama menghabiskan juadah itu. – KOSMO!
The post ‘Bye bye…adik nak pergi jauh, bawa emak’ appeared first on Kosmo Digital.





