
KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa siasatan forensik terhadap video membabitkan Datuk Seri Azmin Ali di Sandakan sebagai sahih.
Justeru, kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, Azmin yang juga Setiausaha Agung Bersatu tidak layak menjadi pemimpin Bersatu selagi kontroversi video tular pada 2019 itu tidak diselesaikan.
“Selepas konvensyen tahun lepas, saya dapat maklumat baharu yang mendakwa siasatan forensik terhadap video intim yang dikatakan membabitkan Azmin Ali di Sandakan mendapati video itu adalah sahih.
“Ini menyebabkan saya berubah fikiran mengenai Azmin Ali. Saya menyuarakan pandangan kepada beberapa orang bahawa selagi isu ‘video songsang’ ini tidak diselesaikan, Azmin tidak sesuai jadi pemimpin Bersatu.
“Saya berpandangan kalau ia fitnah politik, ya, kita mesti pertahan dan lawan tetapi kalau ia isu moral yang menyimpang maka ia tidak sesuai untuk parti seperti Bersatu.
“Parti lain mungkin boleh terima tetapi bukan Bersatu,” katanya pada sidang media hari ini.
https://youtube.com/shorts/h3f9PxwuSWA?si=QJBD0SPcxUvOConO
Menurut Wan Saiful, selepas itu, hubungannya dengan Azmin terus menjadi sejuk, dingin dan beku.
“Jadi saya tak pelik kalau beliau sentiasa mencari peluang nak target saya,’’ katanya.
Pada 2019, tular klip video tular didakwa membabitkan Azmin yang ketika itu Menteri Hal Ehwal Ekonomi dipercayai diambil dari sebuah hotel di Sandakan, Sabah.
Azmin bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya beliau adalah individu dalam video berkenaan.
Menurutnya, pendedahan itu adalah komplot yang dirancang untuk merosakkan reputasi serta kerjaya politiknya. - 29 September, 2025
The post Wan Saiful dakwa video tular tulen, Azmin tidak sesuai jadi pemimpin Bersatu appeared first on Scoop.


