Najis Dalam Pesawat, Penerbangan AirAsia Jalani Kerja Pembersihan Tambahan

23 Aug 2026 • 5:17 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Najis Dalam Pesawat, Penerbangan AirAsia Jalani Kerja Pembersihan Tambahan

SHANGHAI - Sebuah pesawat AirAsia yang dalam penerbangan dari Kota Kinabalu ke Shanghai terpaksa menjalani kerja-kerja pembersihan tambahan selepas seorang penumpang wanita dipercayai membuang air besar di tempat duduknya tidak lama sebelum pesawat mendarat.

Penerbangan AK1516 itu berlepas dari Kota Kinabalu kira-kira jam 10.30 malam pada 18 Ogos lalu dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong, Shanghai, sekitar jam 3 pagi keesokan harinya.

Menurut laporan media China, penumpang mula menghidu bau busuk yang kuat di dalam kabin kira-kira 40 minit sebelum pesawat mendarat.

Punca bau itu kemudiannya dikesan dari kawasan tempat duduk seorang penumpang wanita, dengan najis dilaporkan ditemui pada tempat duduk serta di lantai laluan pesawat berhampiran kawasan berkenaan.

Seorang penumpang yang duduk bersebelahan wanita itu mendakwa, wanita berkenaan dalam perjalanan bersama dua kanak-kanak dan dilihat menuju ke tandas sambil membawa sebuah beg sebelum bau tersebut mula memenuhi ruang kabin.

Pada awalnya, penumpang menyangka ada individu yang muntah, namun tidak lama kemudian mereka menyedari keadaan sebenar.

Seorang saksi turut mendakwa tandas pesawat hanya terletak beberapa meter dari tempat duduk wanita terbabit dan masih belum ditutup untuk persediaan pendaratan ketika insiden itu berlaku.

Wanita berkenaan juga dikatakan memaklumkan kepada penumpang lain bahawa dia berada dalam keadaan tidak sihat.

AirAsia mengesahkan insiden berkenaan pada 21 Ogos dan menyifatkannya sebagai satu kejadian kebersihan luar biasa yang berlaku di laluan dalam pesawat sebelum pendaratan.

Menurut syarikat penerbangan itu, kru kabin segera mengambil tindakan untuk mengawal keadaan dan membersihkan kawasan terjejas menggunakan sarung tangan serta tuala, sambil memastikan keselamatan penerbangan tidak terjejas.

Selepas pesawat tiba di Shanghai, kapten dan pasukan darat dimaklumkan mengenai kejadian tersebut, sebelum operasi pembersihan lebih menyeluruh dilakukan sebaik semua penumpang turun dari pesawat.

Pengurus Besar AirAsia China, Frank Tang Ting, memuji tindakan kru kabin yang kekal tenang dan bertindak pantas dalam mengendalikan situasi itu.

“Keselamatan dan kesejahteraan penumpang sentiasa menjadi keutamaan AirAsia.

“Terima kasih kepada semua penumpang di dalam pesawat atas kefahaman mereka,” katanya. - Getaran, 23 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved