
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Setiap individu seringkali dinasihatkan agar sentiasa menjaga kebersihan selain membuang sampah di tempat sepatutnya.
Namun entah mengapa, ada segelintir yang dilihat tidak bertanggungjawab dan mengambil jalan mudah dengan membuang sampah mengikut sesuka hati mereka.
Lihat sahajalah di media sosial, ada sahaja kisah yang dikongsikan mengenai sikap sebegini lebih-lebih lagi mereka yang sering menjadi mangsa.
Individu Buang Sampah Dari Tingkat Atas Flat, Sampai Orang Lain Turut Jadi Mangsa
Semalam (16 September), tular di media sosial perkongsian seorang wanita menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab yang selamba membuang sampah dari tingkat atas sebuah rumah pangsapuri Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur.
Menerusi hantaran yang dikongsikan oleh pengguna berkenaan di Threads @cwysh4._, insiden tersebut berlaku sewaktu dia bersama ibunya menghantar nenek pulang ke rumah.
Apa yang menjadi perhatian adalah tindakan individu tersebut menyebabkan ibunya menjadi mangsa terkena sampah kotor berkenaan.
Bukan itu sahaja, kereta milik mereka turut menjadi mangsa terkena sisa pembuangan itu.
“Tadi hantar nenek ke rumah dia. Masa tu tengah bersalaman dengan nenek dekat kawasan parking, tiba tiba ada sampah berair jatuh dari atas dan tepat kena mak aku.
“Sampai kena kereta juga sikit. Siapa je tak bengang weyh? Sampah jatuh tepat atas kepala mak sendiri, terpecik kena nenek aku, tak senonoh langsung buang sampah macam tu,” kongsinya.
Dapat Cari ‘Pemilik’ Sampah, Pemilik Nafi Buang Sampah Dari Tingkat Atas
Kongsi pengguna itu lagi, dia berjaya mencari ‘pemilik’ sampah berkenaan hanya melalui alamat yang tertera pada kertas yang terdapat dalam sampah tersebut.
Apa yang menjadi perhatian adalah individu itu mengaku sampah tersebut adalah miliknya namun dia menafikan perbuatan tersebut memandangkan sampah berkenaan diletakkan di tingkat 5.
“Mak aku terpaksa naik tukar baju sebab dah bau busuk. Aku pula cari punca dan terjumpa plastik parcel ada alamat.
“Sampai rumahnya, ada budak budak dari rumah tu keluar and mengaku memang sampah tu dari rumah mereka.
“Katanya dorang letak sampah dekat tingkat 5, tapi tak tahu siapa yang buang keluar,” kongsinya lagi.
Pemilik Sampah Bantu Cuci Bekas Kotoran Pada Kereta
Jelasnya lagi, pemilik sampah tersebut membantu mencuci kenderaan miliknya bagi menghilangkan kotoran tersebut.
“Mujur budak tu turun tolong buangkan sampah tu dan cuci bekas kotoran dekat kereta.
“Kesian juga sebenarnya dekat budak tu. Bukan dia yang buang tetapi salah dia juga letak sampah dekat tingkat lain, last-last jadi mangsa bila orang lain campak,” jelasnya.
Pada masa yang sama, dia turut mengingatkan penduduk flat berkenaan agar tidak membuang sampah serta menjaga kebersihan.
Difahamkan, kejadian berlaku di PPR Taman Mulia, Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur.
Ramai Kecam Tindakan Individu Buang Sampah Merata
Perkongsian yang telah mendapat lebih 96,000 tontonan itu nyata menarik perhatian pengguna media sosial.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang mengecam tindakan tidak bertanggungjawab individu terbabit yang selamba membuang sampah dari tingkat atas flat berkenaan.
Malah, ramai yang turut berkongsi pengalaman sama berhadapan dengan situasi serupa menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab.
Bahkan, isu sebegini sebenarnya sudah menjadi barah di kediaman bertingkat khususnya di PPR.
Individu Bakal Jalani Perintah Khidmat Masyarakat 12 Jam Jika Buang Sampah Merata-Merata
Tahukah anda, individu yang membuang sampah merata-rata bakal menjalani perintah khidmat masyarakat 12 jam?
Perkara itu dikongsikan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam menerusi satu hantaran di Facebook milik mereka.
Jelasnya, khidmat masyarakat seperti kutip sampah, cuci longkang dan tandas selama 12 jam itu merupakan hukuman tambahan selain denda maksimum tidak melebihi RM2,000 yang bakal dikenakan bagi kesalahan pembuangan sampah kecil menurut pindaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
“Ini termasuk kesalahan membuang, mencampak, menempatkan, atau meninggalkan apa-apa sisa pepejal di mana-mana tempat awam atau jalan awam.
“Di bawah RUU ini juga, warga asing dan pelancong juga bakal dikenakan hukuman sama jika didapati bersalah membuang sampah merata-rata.
“Tetapi selepas RUU ini diluluskan, mahkamah boleh memerintahkan pesalah menjalani perintah khidmat masyarakat ini,” jelas mereka.
Sebagai info, pada tahun 2018, seorang remaja maut selepas ditimpa sebuah kerusi yang dilempar dari tingkat atas sebuah PPR Seri Pantai, Pantai Dalam.
Akibat hentaman kerusi itu mangsa cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kutip sampah, cuci longkang dan tandas selama 12 jam jika didapati bersalah membuang sampah merata-rata. Itu hukuman…
Posted by Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam – SWCorp on Wednesday 23 July 2025
Ini antara komen menarik pengguna Threads:
“PPR Taman Mulia Bandar Memang Dari Dulu Perangai Penduduk Situ Macam Tu, Malas Nak Buang Sampah Dekat Bawah, Suka Letak Depan Lif”

“Rumah Saya Ada Bilik Sampah Setiap Tingkat. Tong Sampah Ada 2 Biji Dekat Dalam Tapi Still Orang Buang Letak Atas Lantai Tepi Tong Sampah”

“Saya Dulu Kerja Rider, Rumah PPR Ginilah. Baru Lepas Hantar Order. Pakai Je Helmet, Cawan Kaca Jatuh Pecah Kena Belakang Motor Saya Park”

“Pengalaman Masa Mula Kahwin Duduk Flat, Tak Tahan Duduk Flat Lama-Lama, Pindah Apartment”

Baca Artikel Berkaitan: Ramai Salute Kesabaran Peniaga Sabar Layan Wanita Selamba Masuk Kedai & Buang Sampah Merata [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Sikap Individu Selamba Buang Sampah Keluar Tingkap Kereta Toyota Vios Raih Perhatian [Video]
Source:
