
KUALA TERENGGANU – Seorang wanita yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mental berbaring di tengah jalan maut digilis sebuah kereta Proton Saga di Jambatan Sultan Mahmud, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 1.15 pagi itu, mangsa berusia 39 meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, sewaktu kejadian, kereta Proton Waja dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Berang, Hulu Terengganu dari Gong Badak, Kuala Nerus.
“Sebaik tiba di lokasi, pemandu kereta Proton Waja itu gagal mengelak lalu menggilis tubuh mangsa yang dikatakan berbaring di tengah-tengah jambatan terbabit. Mayat wanita tersebut dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, lelaki yang memandu kereta Proton Waja tidak mengalami kecederaan malah kenderaannya juga tiada kerosakan. – KOSMO! ONLINE
The post Wanita berbaring di tengah Jambatan Sultan Mahmud maut digilis kereta appeared first on Kosmo Online.






