Wanita desa penggerak ekonomi komuniti: Dari kemahiran kecil kepada perniagaan berimpak

LocalBusiness & Finance
21 Oct 2026 • 8:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Wanita desa penggerak ekonomi komuniti: Dari kemahiran kecil kepada perniagaan berimpak

BERMULA dengan kemahiran membuat kek dan roti dari rumah, seorang wanita di Kampung Air Hitam, Batu 18½, Muar kini mampu menjana jualan lebih RM10,000 sebulan selepas lebih sedekad membina perniagaan secara berperingkat.

Nor Hamizah Misdan, 36, tidak pernah menyangka minat yang bermula sejak zaman persekolahan itu akhirnya menjadi sumber pendapatan utama dan membolehkannya membina premis perniagaan sendiri di kampung halaman.

Lebih menarik, perniagaan yang dimulakan ketika berusia 24 tahun itu bermula secara sederhana selepas dia menamatkan pengajian dalam bidang bakeri di Kolej Komuniti Ledang.

Selepas tamat pengajian, dia memilih untuk memulakan perniagaan dari rumah pada 2014.

“Masa mula-mula berniaga memang sukar untuk meraih kepercayaan pelanggan. Pesanan banyak datang daripada keluarga terdekat.

“Kakak dan kakak ipar saya yang bekerja sebagai guru banyak membantu dengan membuka tempahan kepada rakan-rakan mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Nor Hamizah, tempoh kira-kira setahun menjalankan perniagaan dari rumah menjadi fasa penting untuk membina keyakinan pelanggan terhadap produk yang dihasilkan.

Image from: Wanita desa penggerak ekonomi komuniti: Dari kemahiran kecil kepada perniagaan berimpak
Antara produk yang ditawarkan Nor Hamizah hasil kemahiran yang dipelajari di Kolej Komuniti Ledang.

Bisnes kecil ini kemudiannya berpindah dengan menumpang kedai runcit milik arwah bapanya.

Daripada pesanan kecil daripada keluarga dan kenalan, perniagaannya mula mendapat sambutan penduduk sekitar yang mencari roti, kek dan biskut, terutamanya biskut raya menjelang musim perayaan.

Perniagaan Miza Bakery and Cookies yang diusahakan semakin mendapat momentum selepas dia menyertai RISDA Business Challenge pada tahun 2020 dan beroleh hadiah saguhati, melayakkannya mendapat geran berjumlah RM50,000.

Ia digunakan untuk membina premis sendiri, memberi wajah baharu kepada perniagaan dan melonjakkan lagi keterlihatan perkhidmatan yang ditawarkan kepada komuniti setempat, seterusnya meningkatkan keyakinan pelanggan.

“Bisnes saya memang bertambah baik dengan ketara sejak memiliki tapak sendiri, mungkin sebab tidak lagi bercampur dengan kedai runcit jadi keterlihatan itu semakin baik.

“Mungkin satu lagi faktor ialah saya beroperasi di kampung dan di sini tiada peniaga lain yang buka bakeri. Alhamdulillah usaha saya mendapat sambutan baik daripada komuniti dan masyarakat setempat,” ujarnya.

Kini, Hamizah menganggarkan jualan bulanannya melebihi RM10,000 sebulan, dengan pendapatan bersih sekitar RM5,000 hingga RM6,000 selepas mengambil kira gaji dan kos operasi.

Operasi perniagaan itu turut dibantu oleh ahli keluarga, selain turut menggaji dua hingga tiga pekerja sambilan bagi menyokong operasi mengikut keperluan.

Pengalaman Nor Hamizah menunjukkan bagaimana sebuah perniagaan kecil yang bermula dari rumah mampu berkembang menjadi sumber ekonomi yang bukan sahaja menyokong kehidupan pengusahanya, malah turut mewujudkan peluang pendapatan kepada komuniti.

Image from: Wanita desa penggerak ekonomi komuniti: Dari kemahiran kecil kepada perniagaan berimpak
Miza Bakery and Cookies turut melaksanakan aktiviti bersama komuniti, antaranya program membuat piza bersama kanak-kanak tadika.

Ia boleh bermula dengan kemahiran yang sudah dimiliki, kemudian berkembang sedikit demi sedikit melalui pengalaman, sokongan keluarga, akses kepada bantuan pembangunan dan peluang pasaran.

Dalam konteks agenda Ekonomi Desa Nasional (EDN), kisah wanita ini memperlihatkan bagaimana usaha memperkasa komuniti luar bandar boleh diterjemahkan melalui peluang ekonomi yang dekat dengan kehidupan masyarakat itu sendiri.

Lebih penting, ia menunjukkan bahawa peluang ekonomi tidak semestinya perlu dicari di bandar.

Bagi wanita desa yang mempunyai kemahiran tertentu, kampung sendiri boleh menjadi pasaran permulaan untuk membina perniagaan.

Sokongan kerajaan termasuk menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di bawah program Groom Big yang disertai Nor Hamizah boleh membantu usahawan desa dalam aspek geran dan kewangan, peralatan dan mesin, serta kolaborasi teknikal untuk berkembang lebih jauh.

Bagi Nor Hamizah, pengalamannya membina perniagaan di kampung sendiri mengubah pandangannya terhadap potensi ekonomi luar bandar.

“Bagi saya, meskipun di kampung, kalau kita minat dan berusaha tetap boleh pergi jauh. Lebih manis, usaha ini disokong masyarakat dan komuniti di tempat kita sendiri,” katanya.

Dalam sudut pandang lebih luas, inilah potensi wanita desa sebagai penggerak ekonomi, dengan mengubah kemahiran yang ada di tangan kepada sumber rezeki, membina perniagaan di tempat sendiri dan pada masa sama membawa manfaat kepada keluarga serta masyarakat sekeliling. – KOSMO! ONLINE

The post Wanita desa penggerak ekonomi komuniti: Dari kemahiran kecil kepada perniagaan berimpak appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved