Wanita Didakwa Bunuh Warga Indonesia

19 Jun 2026 • 12:32 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Wanita Didakwa Bunuh Warga Indonesia

KUALA LUMPUR - Seorang wanita berusia 44 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita warga Indonesia awal bulan ini.

Tertuduh, Chin Siau Lan, didakwa membunuh wanita Indonesia yang dikenali sebagai Puteri di sebuah unit kediaman di The Olive, Jalan Sunsuria 1, Bandar Sunsuria.

Pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Wanita berkenaan didakwa membunuh mangsa kira-kira jam 2.31 petang pada 3 Jun lalu.

Siau Lan yang bekerja sendiri, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.

Jika tidak dijatuhi hukuman mati, tertuduh juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 21 Julai depan untuk pengurusan dokumen kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya V Luvithaa, manakala tertuduh diwakili peguam V Ayasamy. - Getaran, 19 Jun 2026