IPOH - Seorang wanita yang dihanyutkan arus deras ketika kejadian kepala air di Puncak Jelapang, Meru Raya di sini ditemukan lemas pada pagi Ahad.
Mangsa, P Sneha, 21, ditemukan orang awam pada jam 8.10 pagi tersangkut pada batang pokok kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi dia dipercayai dihanyutkan arus.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa kemudian dibawa naik oleh anggota bomba sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa disambung semula pada jam 8 pagi Ahad dengan melakukan pencarian di sepanjang laluan sungai dari lokasi mangsa dihanyutkan hingga ke lokasi pusat kawalan bomba.
**media[3718621]**
"Operasi pencarian dibahagikan kepada tiga sektor iaitu dari pusat kawalan bomba ke lokasi mangsa dihanyutkan, dari lokasi mangsa dihanyutkan ke pusat kawalan bomba serta pencarian menggunakan bot di laluan Sungai Pari ke arah hilir.
"Operasi turut dibantu dengan tinjauan menggunakan dron di sepanjang laluan sungai bagi membantu mengesan mangsa," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Dalam kejadian pada Sabtu, empat individu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20-an dilaporkan terlibat ketika kejadian kepala air di lokasi berkenaan.
Tiga mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala seorang wanita dilaporkan dihanyutkan arus deras.
JBPM Perak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 5.14 petang Sabtu sebelum jentera tiba di lokasi pada jam 5.32 petang.
Operasi yang melibatkan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya serta lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Ipoh itu ditamatkan pada jam 9.25 pagi Ahad.






