Wanita dikaitkan dengan klip video Albert Tei dipanggil SPRM bantu siasatan

LocalPolitics
27 Nov 2025 • 8:39 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memita seorang wanita yang dikaitkan dalam sebuah klip video bersama ahli perniagaan, Albert Tei, untuk hadir ke pejabat agensi itu bagi membantu siasatan.

Menurut kenyataan rasmi, wanita berkenaan diminta tampil memberi keterangan susulan rakaman video perbualan bersama Albert Tei yang tular sejak beberapa hari lalu. Klip tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.

SPRM memaklumkan bahawa pihaknya sedang berusaha mengesan wanita berkenaan dan meminta untuk hadir ke pejabat SPRM pada 1 Disember ini.

Baca juga:

Dalam masa sama, SPRM turut menghubungi Albert Tei dan meminta ahli perniagaan itu untuk hadir pada tarikh yang sama bagi membantu siasatan lanjut.

SPRM ingin mengingatkan semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini dan memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara bebas dan menyeluruh.

Sebelum ini, SPRM mengesahkan akan memulakan siasatan segera berhubung dakwaan rasuah melibatkan seorang ahli perniagaan terkenal, Albert Tei, terhadap bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

SPRM memaklumkan bahawa kedua-dua individu tersebut iaitu pihak yang membuat tohmahan dan pihak yang ditohmah akan dipanggil dalam masa terdekat untuk memberikan keterangan.

Shamsul Iskandar Mohd Akin pada Selasa memaklumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri.

Menerusi hantaran di platform X itu, beliau berkata, keputusan tersebut dibuat susulan wujud percubaan untuk menyerang beliau dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani.