
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, tular di media sosial perkongsian seorang lelaki yang dikenali sebagai Mustaza Mohd Yusof mengenai seorang wanita dipercayai warga asing yang didakwanya menceroboh sebuah tanah dengan menjualnya kepada individu lain.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, Mustaza memaklumkan bahawa pemilik tanah terbabit pada September 2024 lalu telah melantiknya untuk mencari pembeli bagi sebidang tanah seluas 2.87 ekar di Semungkis, Hulu Langat, Selangor.
“Pemilik juga dalam masa sama meminta saya menjaga tanah tersebut berikutan keadaan kesihatannya yang kurang mengizinkan sementara mendapatkan pembeli,” katanya.
Dapati tanah sudah dibersihkan dan diratakan guna jentera berat
Menurutnya, setelah hampir setahun masa berlalu tanah tersebut masih tiada pembeli dan dia mula jarang melawat tanah itu kerana kesibukan kerja.
Bagaimanapun, pada 21 Oktober 2025 lalu, dia melakukan lawatan ke tanah berkenaan dan mendapati sebahagian daripada tanah sudah dibersihkan serta diratakan dengan jentera berat.
“Pokok-pokok buah dan sebuah kayu yang dijadikan pondok menunggu masih ada pasa masa ini. Saya bertanya kepada pemilik tanah tentang perkara itu dan pemilik juga tidak tahu apa-apa,” katanya lagi.
Wanita mengaku dirinya pemilik tanah, siap bersihkan pokok dan rumah kayu
Setelah melakukan lawatan yang lebih kerap, dia akhirnya bertemu dengan seorang wanita dipercayai warga Indonesia yang memperkenalkan diri sebagai Ibu Nara yang mengaku sebagai ‘pemilik tanah’ berkenaan.
Menurutnya lagi, dia turut mengaku telah membersihkan dan meratakan tanah tersebut untuk tujuan penjualan tanah lot lidi.
“Pada masa ini, pokok-pokok buahan dan rumah kayu telah ditolak kesemuanya. Saya menyamar sambil buat rakaman video mengatakan kepada mereka bahawa saya juga minat untuk membeli tanah lot lidi yang mereka ingin jual.”
Mustaza Mohd Yusof
Mustaza kemudiannya menyamar sebagai pembeli untuk mengumpul bukti tentang perkara itu sebelum melaporkannya kepada pemilik tanah yang sebenarnya.
Mustaza dan pemilik tanah buat laporan tentang pencerobohan itu
Ujarnya, pemilik tanah terbabit kemudiannya membuat laporan kepada pihak polis dan pejabat tanah, malah dirinya juga turut membuat laporan.
“Sehingga 1 Januari 2026 masih tiada tindakan dari pejabat tanah manakala pihak polis pula sarankan saya mengumpul lebih bukti iaitu surat tawaran jual beli dari Ibu Nara supaya tangkapan menjadi lebih kepada jenayah komersial.
“Saya masih belum dapat surat jual beli dari Ibu Nara kerana dia berurusan dengan kebanyakan pembelinya iaitu warga Indonesia tanpa menggunakan surat jual beli.”
Pemilik tanah dan Mustaza halau sendiri penceroboh, minta ganti rugi
Mustaza dan pemilik tanah akhirnya memutuskan untuk menghalau penceroboh secara sendiri dan meminta ganti rugi kerosakan tanah, rumah kayu dan pokok-pokok buahan.
“Pada 3/1/2026 penceroboh berjaya dihalau setelah saya bertemu dengan Ibu Nara bersama suaminya di tanah tersebut. Pondok yang didirikan di atas tanah telah saya musnahkan. Ibu Nara berjanji untuk bayar ganti rugi dan tidak datang lagi ke tanah tersebut. Ganti rugi sebanyak RM30,000 telah dibayar kepada akaun pemilik tanah.
“Saya menulis kronologi ini dan menularkan ke media sosial dengan tujuan agar orang ramai tidak berurusan dengan Ibu Nara berkaitan tanah lot lidi di tanah tersebut kerana tanah itu bukan miliknya. Sehingga tarikh 4/1/2026, saya masih mendapati Ibu Nara masih meyakinkan pembeli tanah lot lidi yang dibuka olehnya secara palsu,” ujarnya.
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Tegur Warga Asing Didakwa Ambil Makanan Infak Di Masjid Secara Berlebihan
Baca Artikel Berkaitan: “Mereka Pun Nak Main Juga” – Ramai Berang Lelaki Persoal Warga Asing Guna Padang Main Bola Sepak [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Warga Asing Dicekup, Disyaki Intip Anak Tiri Mandi



