
PETALING JAYA : Seorang wanita warga asing cedera melecur dipercayai disimbah cecair mengandungi asid oleh kekasihnya selepas mahu memutuskan hubungan dalam kejadian di sini, Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 20-an yang bekerja di sebuah kedai makan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.
Menurutnya, mangsa dan suspek merupakan warga asing yang mempunyai hubungan sebagai pasangan kekasih.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada masalah hubungan apabila mangsa mahu memutuskan hubungan dengan suspek.
“Mangsa kini menerima rawatan di PPUM akibat kecederaan melecur dipercayai terkena simbahan cecair yang disyaki asid,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek dipercayai melarikan diri selepas kejadian dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.
Polis turut merakam percakapan beberapa saksi bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. – UTUSAN
The post Wanita disimbah asid gara-gara mahu putuskan hubungan cinta appeared first on Utusan Malaysia.






