Wanita hamil ditemui mati dengan kesan lebam di muka, di sebelah suaminya yang sedang nyenyak tidur

9 Dec 2023 • 7:14 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Seorang wanita hamil 4 bulan dilaporkan meninggal dunia dengan wajahnya penuh dengan kesan lebam, di dalam bilik, di sebelah suaminya yang sedang tidur.

Lapor media tempatan, kejadian berlaku pada pagi Khamis, 7 Disember 2023, di Lipu, Daerah Betoambari, Kota Baubau, Sulawesi Tenggara, Indonesia.

Sempat mengadu kepala dipukul

Siasatan awal mendapati, kematian mangsa berusia 19 tahun itu diketahui oleh bapa saudaranya, La Zamani, yang datang melawatnya. Pada malam sebelum kejadian, Zamani mendedahkan mangsa ada menelefon dan mendedahkan dia telah dipukul oleh suaminya, di bahagian kepala.

Pada keesokan hari, Zamani datang ke rumah anak saudaranya yang tinggal bersama ibu dan suaminya, untuk memeriksa keadaannya. Tetapi mangsa tidak keluar dari bilik.

Ibu mangsa kemudian membuka pintu bilik dan mereka mendapati kaki mangsa berada dalam keadaan pucat serta kesejukan, rupa-rupanya telah meninggal dunia.

Suspek nafi bunuh isterinya

Zamani terus bertanya apa yang lelaki itu telah lakukan kepada mangsa dan meminta lelaki terbabit tidak berbohong kerana mangsa ada memaklumkan kepalanya telah dipukul.

Suspek yang masih remaja dan berusia 17 tahun itu kemudian mengaku ada bertengkar dengan isterinya sebelum keluar dari rumah untuk bermain futsal dan pulang pada waktu tengah malam.

“Saya balik pada waktu tengah malam dan sempat memeluk dia sebelum melelapkan mata. Tetapi pada pagi keesokan hari, saya mendapati dia telah meninggal dunia,” kata suspek.

Jurucakap polis berkata, punca kematian mangsa belum diketahui. Berdasarkan keterangan pihak hospital, wajah mangsa memang kebiruan apabila dibawa ke hospital.

Mangsa dikenal sebagai meli Safitri, berusia 19 tahun. Dan pasangan muda ini baru mendirikan rumah tangga pada 19 Oktober 2023.

Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan polis juga sedang menunggu keputusan laporan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian mangsa.

Sumber: TV One News