Wanita hilang semua jari tangan kiri tersepit mesin kisar kilang

10 Sep 2026 • 1:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Wanita hilang semua jari tangan kiri tersepit mesin kisar kilang
Operasi mengeluarkan jari tangan kiri tersepit. Foto: JBPM Melaka

ALOR GAJAH - Seorang pekerja wanita cedera dan kehilangan semua jari tangan kirinya selepas tersepit pada mesin kisar di sebuah kilang memproses makanan di Kawasan Perindustrian Kelemak, di sini pada Khamis.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd Shahrom Laji berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.50 pagi.

Menurutnya, mangsa berusia 25 tahun mengalami kecederaan pada tangan kiri apabila semua jarinya tidak dapat diselamatkan.

“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati benar tangan seorang wanita tersepit di mesin grinder kilang.

“Komander operasi memaklumkan mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan bius sebelum pihak bomba membuka mesin berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, selepas prosedur bius dilakukan, operasi menyelamat dijalankan dengan memutarkan mesin berkenaan ke arah bertentangan.

“Tangan mangsa berjaya dilepaskan daripada mesin berkenaan dalam tempoh kurang lima minit.

“Seterusnya, pihak hospital menjalankan rawatan lanjut terhadap tangan mangsa, manakala mesin berkenaan dinyahkuman,” katanya.

Katanya, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dikejarkan ke lokasi.

Operasi dikawal pada jam 11.53 pagi dan ditamatkan lima minit kemudian sebelum jentera bersama anggota bertolak pulang ke balai.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved