
KUALA LUMPUR – “Disangka sekadar mahu bertanya sesuatu, namun lelaki itu didakwa berulang kali meminta untuk masuk ke dalam keretanya.” Itulah pengalaman mencemaskan yang dikongsikan seorang wanita menerusi satu hantaran di Threads sehingga mengundang perhatian ramai.
Menerusi perkongsian dimuat naik oleh pengguna Threads @nurdilyanaa, wanita itu mendakwa kejadian berlaku ketika dia sedang menunggu di dalam kereta sebelum memulakan syif kerja malam.
Menurutnya, sepanjang bekerja syif malam, belum pernah ada individu mengetuk cermin keretanya. Namun pada malam tersebut, seorang lelaki datang menghampiri dan beberapa kali mengetuk cermin kereta.
Katanya, dia hanya membuka sedikit cermin kerana menyangka lelaki itu mahu bertanyakan sesuatu. Bagaimanapun, keadaan bertukar cemas apabila lelaki berkenaan didakwa berkali-kali meminta untuk menumpang masuk ke dalam keretanya.
“Saya buka cermin sedikit, ingat dia nak tanya sesuatu. Nak keluar pun saya rasa seram,” tulisnya.
Ramai Anggap Situasi Itu Tidak Normal
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya menganggap situasi itu tidak normal dan berpotensi mengundang bahaya.
Ada yang menasihatkan supaya tidak terlalu mesra dengan individu tidak dikenali, selain tidak berkongsi terlalu banyak maklumat peribadi seperti lokasi, waktu bekerja atau rutin harian.
Beberapa pengguna turut menyarankan agar dia memilih kawasan parkir yang mempunyai liputan CCTV, mendapatkan bantuan rakan sekerja atau menghubungi pengawal keselamatan sekiranya berdepan situasi sama pada masa akan datang.
Dakwa Pilih Kawasan Terbuka Berbanding Basement
Menjawab beberapa komen, wanita itu menjelaskan kejadian berlaku di sekitar kawasan Damansara, namun tidak mendedahkan lokasi tepat.
Menurutnya, dia lebih selesa menunggu di kawasan terbuka kerana berasakan parkir bawah tanah lebih sunyi dan menyeramkan pada waktu malam.
Dia turut memaklumkan bahawa selepas lelaki itu didakwa beberapa kali meminta untuk masuk ke dalam keretanya, dia segera menghubungi rakan pejabat bagi memaklumkan keadaan tersebut.
Netizen Sempat Berseloroh
Di sebalik pelbagai nasihat keselamatan, ada juga netizen yang mencuit hati dengan komen berseloroh.
Seorang pengguna meninggalkan komen berbunyi, “Pakcik nampak saya ke?”, seolah-olah mencadangkan wanita itu berpura-pura menjadi “hantu” sekiranya berdepan situasi sama.
Gurauan itu mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna lain. Namun di sebalik jenaka tersebut, majoriti netizen tetap mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan tidak membuka tingkap atau melayan individu yang tidak dikenali ketika bersendirian di dalam kereta, terutama pada waktu malam.
Perkongsian itu kini meraih lebih 56,000 tontonan, dengan ramai berharap wanita berkenaan sentiasa berhati-hati serta menjadikan kejadian tersebut sebagai peringatan kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada. – The Malaysian Update
Sokong TMU
Jika anda menghargai usaha TMU dalam menyampaikan berita, maklumat dan isu semasa yang bermanfaat, anda boleh memberi sokongan secara sukarela.
Sokongan anda membantu kami terus menghasilkan laporan, artikel dan kandungan berkualiti untuk rakyat Malaysia.
The post Wanita Kongsi Detik Cemas, Dakwa Lelaki Asing Berulang Kali Minta Masuk Ke Dalam Kereta appeared first on The Malaysian Update.





