
KAJANG – Seorang wanita warga asing maut selepas dirempuh sebuah lori membawa muatan gas ketika melintas jalan berhampiran Pasaraya Lotus di Jalan Semenyih di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, mangsa yang berusia 41 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati lori tersebut dipandu seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang dalam perjalanan dari Semenyih menuju ke EcoHill bagi menghantar bekalan gas.
“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai sedang melintas jalan dari arah Pasaraya Lotus sebelum pemandu lori itu gagal mengelak lalu melanggarnya.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun, denda maksimum RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Inspektor Mohd. Raziman Rasid di talian 019-4565502 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Naazron turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas dan mengamalkan pemanduan berhemah demi keselamatan semua pihak. – KOSMO! ONLINE
The post Wanita lintas jalan maut dirempuh lori gas appeared first on Kosmo Digital.


![[KEMASKINI] Warga emas maut dalam gua selepas melawat tokong](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/Untitled-design-2026-08-07T150245.093.png)


