Wanita m@ut ditikam suami 13 kali, keluarga sangka rumah tangga bahagia - ‘Suspek sayang isteri dan anak’

15 Sep 2026 • 2:00 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Wanita m@ut ditikam suami 13 kali, keluarga sangka rumah tangga bahagia - ‘Suspek sayang isteri dan anak’

BAGI keluarga, S Sila, 39, seorang wanita yang berani dan disayangi. Sepanjang lima tahun mendirikan rumah tangga, tiada siapa menyangka dia mungkin berdepan masalah yang akhirnya membawa kepada tragedi.

Ibu saudara mangsa, D Kodimalar, 42, berkata keluarga menyangka kehidupan Sila bersama suami bahagia kerana wanita itu tidak pernah menunjukkan atau menceritakan sebarang masalah rumah tangga yang dihadapinya.

“Kami sendiri tidak tahu jika mereka ada krisis kerana mereka nampak bahagia.

“Kalau dia ada bercerita dari awal, sudah tentu kami boleh tampil berikan bantuan dan menyelamatkannya daripada kejadian itu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), pada Selasa.

Kata-kata itu menggambarkan betapa sukarnya keluarga menerima kehilangan Sila, apatah lagi mereka tidak pernah menyangka wanita berkenaan akan pergi dalam keadaan tragis.

Lebih mengejutkan, seorang lagi ahli keluarga yang enggan dikenali berkata, suspek selama ini dikenali sebagai seorang yang peramah serta sangat menyayangi isteri dan anaknya.

Malah, lelaki berusia 43 tahun itu juga tidak merokok.

“Kami memang sedih dengan apa yang terjadi, kerana kami jaga mangsa dari dia kecil lagi, sekarang dia sudah tiada, kami akan jaga anaknya pula macam mana kami jaga dia dahulu,” katanya.

Anak tiga tahun kini dalam jagaan keluarga

Tragedi itu terbongkar selepas adik suspek memaklumkan kepada keluarga bahawa anak lelaki pasangan berkenaan yang berusia tiga tahun telah diserahkan kepadanya bersama kunci rumah.

Image from: Wanita m@ut ditikam suami 13 kali, keluarga sangka rumah tangga bahagia - ‘Suspek sayang isteri dan anak’

Kodimalar berkata, ahli keluarga kemudian bergegas ke kediaman mangsa dan tiba kira-kira jam 8.30 malam.

Namun, mereka tidak dapat memasuki rumah sebelum terpaksa memecahkan pintu.

“Apabila pintu bilik dibuka, saya nampak dia dalam keadaan terbaring di atas katil dan berlumuran darah.

“Dia mengalami kesan tikaman dari bahagian dada hingga ke pusat,” ujarnya.

Sila kemudiannya dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan ketika itu denyutan nadinya masih ada.

Bagaimanapun, doktor memaklumkan fungsi jantung mangsa sudah terhenti walaupun nadinya masih ada ketika dibawa ke unit kecemasan.

“Pihak hospital cuba memberikan bantuan pernafasan dan darah, namun dia disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di seluruh badan,” jelasnya.

Pada Isnin, media melaporkan seorang wanita maut disyaki ditikam sebanyak 13 kali oleh suaminya dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Tiram, Kulim pada kira-kira jam 8.30 malam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, suspek mengaku menikam isterinya sebanyak tujuh kali di dada, lima di perut dan satu di rusuk kanan menggunakan pisau lipat.

Image from: Wanita m@ut ditikam suami 13 kali, keluarga sangka rumah tangga bahagia - ‘Suspek sayang isteri dan anak’

Buat keluarga, kehilangan itu bukan sekadar meragut seorang insan tersayang, tetapi meninggalkan seorang anak kecil yang kini perlu dibesarkan tanpa ibunya.

Kodimalar berkata, kali terakhir dia bertemu Sila adalah pada Ogos lalu.

Menurutnya, Sila dikenali sebagai seorang yang berani dan sentiasa disayangi keluarga.

Kini, mereka hanya mampu menerima ketentuan itu selain memastikan urusan jasad Sila diselesaikan sebaik mungkin.

“Jasad akan dibawa pulang untuk dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Manis, Perai, Pulau Pinang, tempat dia dibesarkan sejak kecil,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved