Terkejut tengok anak saudara penuh darah atas katil

15 Sep 2026 • 12:14 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Terkejut tengok anak saudara penuh darah atas katil

ALOR SETAR – Keluarga kepada wanita yang mati ditikam suami sebanyak 13 kali di sebuah rumah di Taman Tiram, di sini malam tadi masih terkejut dengan kejadian itu dan mendakwa mangsa tidak pernah mengadu tentang masalah rumah tangganya sebelum ini.

Menurut D. Kodimalar, 42, anak saudaranya itu, S. Sila, 39, mendirikan rumah tangga dengan suspek berusia 43 tahun kira-kira lima tahun lalu dan mempunyai seorang anak lelaki berusia empat tahun.

“Mereka sudah kahwin sejak lima tahun lalu yang mana anak saudara saya baru sahaja
mengambil skim pemberhentian secara sukarela (VSS) di sebuah kilang sejak enam bulan lalu, manakala suaminya pernah bekerja sebagai juruteknik di Butterworth, Pulau Pinang.

“Sepanjang perkahwinannya, dia tidak pernah cerita tentang sebarang masalah termasuk berkaitan rumah tangganya kepada kami. Jika dia cerita awal, mungkin kita boleh bagi bantuan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Katanya, dia juga langsung tidak menyangka suspek sanggup bertidak menikam isterinya itu sehingga maut.

“Kali terakhir jumpa mereka ketika saya menghadiri majlis perkahwinan saudara 24 Ogos lalu. Saya tengok hubungan mereka biasa sahaja dan suspek pula bukanlah seorang yang panas baran. Saya tidak tahu menahu jika ada yang kata punca kejadian sebab cemburu,” ujarnya.

Menceritakan semula kejadian, katanya, dia mendapat tahu tentang kejadian itu kira-kira pukul 7 malam tadi sebelum bergegas ke rumah mangsa dengan beberapa ahli keluarga lain.

“Kami terpaksa memecahkan pintu rumah sebelum saya masuk dahulu ke dalam bilik dan nampak anak saudara saya itu terbaring di atas katil dalam keadaan berlumuran darah. Waktu itu, dia sudah tidak sedarkan diri, namun masih bernafas dan masih ada denyutan nadi.

“Keadaannya sangat teruk, luka tikaman dari atas dada sehingga perut. Habis baju saya pun berdarah ketika cuba mengangkatnya,” katanya.

Jelasnya, mereka kemudian membawa mangsa ke Hospital Kulim, namun anak saudaranya itu disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Tambahnya, sewaktu kejadian, anak tunggal pasangan itu dipercayai berada di rumah pengasuh.

“Selepas kejadian, suspek dikatakan ambil anaknya dari pengasuh dan menyerahkan anaknya itu bersama kunci rumah kepada adiknya di Juru, Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi ahli keluarga yang enggan dikenali berkata, suspek merupakan seorang yang peramah dan penyayang.

“Kami tak sangka boleh berlaku kejadian ini dan kami akan membantu menjaga anak mangsa dengan sebaik mungkin,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan pertengkaran dipercayai berpunca daripada rasa cemburu membawa kepada tragedi apabila seorang wanita maut selepas ditikam suaminya sebanyak 13 kali menggunakan pisau lipat di rumah mereka di Taman Tiram, malam tadi

Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 39 tahun mengalami tujuh tikaman di dada, lima di perut dan satu di rusuk kanan.

Suspek berusia 43 tahun itu kemudian hadir ke Balai Polis Lunas kira-kira pukul 8.40 malam tadi dan memaklumkan kepada anggota bertugas bahawa dia telah menikam isterinya sebelum ditahan dengan siasatan dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

The post Terkejut tengok anak saudara penuh darah atas katil appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved