Wanita Malaysia jana lebih RM217.9 juta pendapatan sebagai hos penginapan Airbnb pada 2023
zulfadli
12/03/2024 - 15:45
KUALA LUMPUR 12 Mac - Hos wanita meraih lebih RM217.9 juta pendapatan pada 2023 melalui aktiviti penginapan di platform Airbnb di Malaysia.
Ketua Dasar Awam Airbnb untuk Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, Mich Goh berkata, hos wanita di Malaysia turut meraih beberapa pencapaian, termasuk peratusan ulasan 5 bintang lebih tinggi pada 2023 berbanding 2022.
Katanya, bersempena Hari Wanita Antarabangsa bulan ini, Airbnb meraikan hos wanitanya dan sumbangan mereka kepada masyarakat dalam memperkasakan wanita lain, memupuk kepelbagaian dan keterangkuman serta memacu pertumbuhan ekonomi yang penting.
"Sempena Hari Wanita Antarabangsa ini, Airbnb meraikan para wanita yang luar biasa di platform kami, daripada hos kami yang bersemangat tinggi hinggalah tetamu yang giat meneroka.
"Kami kekal komited untuk menyokong komuniti hos dan tetamu wanita kami, untuk meneruskan minat mereka dalam bidang keusahawanan dan penerokaan, sekali gus memacu pelancongan Malaysia ke hadapan," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, pada 2023, lima kategori teratas penginapan yang ditempah pelancong wanita Malaysia ialah kolam hebat, penginapan tropika, penginapan di bandar ikonik, penginapan di taman negara dan penginapan dengan pemandangan hebat.
Katanya, Kuala Lumpur menduduki tempat pertama sebagai bandar domestik yang paling banyak ditempah tetamu wanita di Airbnb, diikuti Petaling Jaya, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

"Bandar antarabangsa yang paling banyak ditempah dari segi destinasi antarabangsa yang paling banyak ditempah oleh rakyat Malaysia, London menduduki tempat pertama sebagai bandar kegemaran pelancong wanita, diikuti oleh Bangkok, Melbourne, Taipei dan Seoul.
"Bandar yang melonjak popular: Kulim, Kedah dan Kulai, Johor merupakan destinasi domestik utama yang trending dalam kalangan tetamu wanita di Malaysia, dengan kenaikan lebih 22% dalam malam yang ditempah tahun ke tahun oleh tetamu wanita domestik pada 2023," katanya.
Tambahnya pada 2023, pelancong wanita Malaysia lebih suka melancong secara berpasangan (lebih 30%) bagi tempoh pelancongan selama dua hingga enam malam.
Majoriti malam yang ditempah tetamu wanita disumbangkan mereka yang berumur 25 hingga 39 tahun, yang membentuk kira-kira dua pertiga daripada semua pelancong wanita Malaysia di Airbnb, katanya. - DagangNews.com


