
KLUANG – Seorang wanita yang juga pekerja swasta maut ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas kenderaan dipandunya hilang kawalan dan melanggar sebarang pokok dalam kejadian di kilometer 66, Jalan Batu Pahat – Mersing, di sini tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian pukul 12 tengah hari itu melibatkan Melissa Mathew Bilong, 42, yang memandu kereta Mitsubishi Pajero dalam perjalanan dari bandar Kluang menuju ke Pekan Kahang.
Katanya, sebaik sampai di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahagian kiri jalan dan melanggar sebatang pokok.
“Akibat daripada kejadian itu, mangsa telah mengalami kecederaan parah dan tersepit di tempat duduk pemandu sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Renggam.
“Bagaimana pun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang datang sejurus selepas kejadian sebelum dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom untuk proses bedah siasat,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Bahrin, pihaknya berharap saksi kejadian dapat tampil menyalurkan maklumat kejadian dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE
The post Wanita maut dalam perjalanan balik ke rumah. appeared first on Kosmo Digital.






