
Wanita Maut Digilis Treler
KULIM — Seorang wanita dilaporkan meninggal dunia apabila motosikal yang ditungganginya hilang kawalan mengakibatkannya terjatuh sebelum digilis sebuah lori treler.
Menurut Sinar Harian, kejadian berlaku di Jalan Sungai Seluang berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Seluang sekitar jam 8.13 pagi Selasa.
Akbat kejadian, cebisan badan mangsa yang berumur lingkungan 20-an berselerakan di tempat kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd Azizul Mohd Khairi, kemalangan hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kenderaan itu dari arah Jalan Sungai Seluang Atas menghala ke Jalan Kulim-Baling.
Sewaktu di lokasi kejadian, mangsa gagal mengawal motosikal yang dibawa sebelum dilanggar treler yang membawa muatan simen itu.
“Mangsa dipercayai sedang memotong treler di bahagian tepi sebelah kiri telah hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan sebelum dilanggar di bahagian tayar belakang treler.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan badan serta maut di lokasi kejadian,” katanya.
Maklum Mohd Azizul, mayat wanita itu dihantar ke unit forensik Hospital Kulim bagi proses bedah siasat.
Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kanak-Kanak Perempuan Maut Digilis Lori
Terdahulu, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas digilis lori dalam kemalangan di Kampung Paya Mengkuang, Batang Tiga lapor Bernama pada Mei lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit, kejadian kira-kira 5.30 petang itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di simpang tiga ketika mangsa sedang bermain bersama saudaranya di celah pokok di sekitar tempat kejadian.
“Pemandu lori itu iaitu lelaki berusia 37 tahun mendakwa tidak perasan kehadiran mangsa walaupun telah memastikan keadaan jalan selamat sebelum keluar dari simpang berikutan tindakan kanak-kanak itu yang tiba-tiba keluar dari celah pokok.
“Berikutan itu, lelaki berkenaan tidak menyedari mangsa yang sedang berlari ke arahnya sebelum terlanggar kanak-kanak itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Sumber: Sinar Harian
The post Wanita Maut Digilis Treler appeared first on Siakap Keli.
