Wanita Maut, Dua Cedera Dihempap Pokok Ketika Berkhemah

LocalEnvironment
19 Sep 2025 • 6:31 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Wanita Maut, Dua Cedera Dihempap Pokok Ketika Berkhemah

KUANTAN, 19 Sept (Bernama) — Seorang wanita maut manakala dua lelaki termasuk kanak-kanak cedera selepas khemah mereka di kawasan perkhemahan Pulau Santap, Janda Baik, Bentong dihempap pokok tumbang hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata menerima panggilan kecemasan kejadian pada 7.56 pagi dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bentong tiba di lokasi pada 8.45 pagi.

“Seorang wanita berusia 38 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dua lagi mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis manakala mangsa cedera dibawa ke hospital.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Herini Mohammad Ali, 38, dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

“Dua lagi mangsa iaitu suami wanita berkenaan berusia 43 tahun serta anak mereka berusia tujuh tahun mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sebatang pokok besar tumbang, lalu menghempap dua khemah yang didiami beberapa pengunjung di kawasan perkhemahan berkenaan.

“Hasil siasatan juga mendapati keluarga terbabit bersama seorang rakan tiba di kawasan perkhemahan itu pada 15 Sept lepas. Semasa kejadian, mereka sedang berehat di dalam khemah sebelum dihempap pokok kira-kira 7.15 pagi,” katanya.

Yahaya berkata siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung status operasi tapak perkhemahan berkenaan serta aspek keselamatan kawasan itu.

Sumber: BERNAMA