
RANAU: Seorang wanita berusia 47 tahun maut selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dinaikinya terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai di Kampung Nalapak, di sini, pada Ahad.
Mangsa terperangkap di dalam kenderaan jenis Isuzu D-Max itu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau Rantey Fred berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.45 tengah hari sebelum tujuh anggota bersama dua jentera bomba dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai.
Beliau berkata pasukan bomba tiba di lokasi pada kira-kira 1.14 petang dan mendapati kenderaan pacuan empat roda itu dipercayai terbabas dari jalan raya sebelum terjunam ke sungai dengan mangsa masih berada di dalam kenderaan berkenaan.
“Anggota bomba mengeluarkan mangsa dari kenderaan sebelum memberikan rawatan awal.
“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan KKM,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Rantey berkata mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 2.14 petang selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat.






