ALOR SETAR - Seorang wanita warga emas hilang selepas dipercayai keluar dari rumah tanpa pengetahuan ahli keluarganya di Jalan Changloon, Kodiang, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, Razaiyah Hassan, 74, menghidap penyakit darah tinggi dan nyanyuk, masih belum ditemukan setakat ini.
"Polis menerima panggilan daripada anak lelaki mangsa berusia 53 tahun memaklumkan kehilangan itu, sebelum melakukan pencarian di sekitar kawasan rumah pada 3 petang semalam, namun gagal ditemukan.
"Seorang saksi terlihat warga emas itu menuju ke kebun getah di hujung kampung sebelum anak mangsa melakukan pencarian bersama-sama penduduk kampung dari 5 petang hingga 11.30 malam,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pencarian dihentikan kerana sudah lewat malam sebelum disambung semula pada 7 pagi tadi, namun mangsa masih belum ditemukan.
"Anak mangsa membuat laporan di Balai Polis Kodiang hari ini, kerana bimbang keselamatan ibunya yang menghidap penyakit darah tinggi dan perlu mengambil ubat mengikut waktu ditetapkan,” katanya.
Mohd Radzi berkata, wanita warga emas itu berbadan kurus dengan tinggi kira-kira 140 sentimeter, berkulit cerah, berambut kerinting paras bahu serta beruban tanpa memakai sebarang perhiasan diri atau barang kemas.
"Kali terakhir dia dilihat memakai kemeja-T kolar bulat berwarna merah jambu kosong, berkain batik berwarna coklat, tidak memakai tudung dan tidak berkasut,” katanya.
Beliau berkata, turut terlibat membantu pencarian mangsa ialah Unit Anjing Pengesan (K9), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan bomba. - Bernama





