
BANGKOK – Seorang wanita meninggal dunia selepas disyaki terkena renjatan elektrik di sebuah perhentian bas di wilayah Pathum Thani, Thailand, lapor laman berita Thaiger.
Pasukan kecemasan dikerahkan ke hentian bas yang terletak berhampiran Tugu Peringatan Negara di Khu Khot, daerah Lam Luk Ka sebelum mereka menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Mereka memberikan bantuan pernafasan sebelum membawa mangsa dikenali sebagai Thipawan, 54, ke hospital, di mana dia disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Seorang anggota kecemasan dari Majlis Perbandaran Khu Khot, Amorn Phinthuphan berkata, anggota tentera di Tugu Peringatan Negara telah memutuskan bekalan elektrik sebelum pasukan penyelamat tiba.
Seorang askar yang menyaksikan kejadian itu memberitahu bahawa mangsa berjalan ke hentian bas dan duduk sebelum dipercayai terkena renjatan elektrik, menyebabkan dia rebah.
Anggota tentera bergegas memotong bekalan elektrik dan menghubungi perkhidmatan kecemasan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bhumibol Adulyadej untuk bedah siasat.
Polis sedang menjalankan siasatan sebelum mayat mangsa diserahkan keapda keluarganya untuk pengebumian. – AGENSI
The post Wanita maut terkena renjatan elektrik di hentian bas appeared first on Kosmo Online.






